Wednesday, May 18, 2022

Bekas pegawai Goldman tidak dilibatkan dalam pertemuan individu utama skandal 1MDB

Pasukan pembelaan Roger Ng berkata beliau tidak dilibatkan dalam beberapa pertemuan dan acara bersama ahli pernigaan buruan Jho Low.

Other News

Pasukan pembelaan Roger Ng berkata bekas jurubank Goldman Sachs itu tidak dilibatkan dalam beberapa pertemuan dengan beberapa individu utama yang dikaitkan dengan kes berkait penyelewengan dana 1MDB termasuk acara makan malam pada 2013 bersama Najib Razak.

Sebaliknya, Mahkamah New York diberitahu pegawai atasan Ng, Tim Leissner adalah individu utama yang lebih banyak meluangkan masa dengan beberapa individu berprofil tinggi dikaitkan dengan penyelewengan dana 1MDB termasuk Low Taek Jho atau lebih dikenali sebagai Jho Low, menurut laporan Bloomberg.

Ng yang merupakan satu-satunya pegawai Goldman yang dibicarakan berhubung skandal itu dituduh bersubahat bersama Leissner dan Low untuk menyelewengkan berbilion dolar daripada hasil jualan bon 1MDB.

Bagaimanapun Leissner yang mengaku bersalah dan menjadi saksi pendakwaan terhadap Ng berkata beliau mengumpulkan lebih AS$60 juta dalam bentuk suapan dari Low dan mendakwa Ng dibayar lebih dari AS$35.1 juta.

Peguam Ng yang memulakan pembelaan pada Khamis turut cuba menunjukkan bahawa Leissner bertemu dengan Low dan beberapa individu lain tanpa kehadiran Ng.

Dalam keterangan yang dikemukakan di mahkamah, satu pesanan melalui Blackberry oleh Leissner kepada seorang lagi jurubank Goldman pada 2012, dipetik sebagai berkata: “Tolong jangan beritahu Roger (Ng) tentang pertemuan kita dengan kawan itu.”

Ketika pesanan itu dihantar, Leissner, Low dan Ng berada di Hong Kong selepas satu transaksi jualan bon 1MDB dipersetujui.

Goldman Sachs mengatur jualan tiga bon sebanyak AS$6.5 bilion untuk 1MDB.

Daripada hasil jualan itu, pendakwa raya di AS dan Malaysia mengatakan sebanyak AS$4.5 bilion daripadanya diselewengkan.

Dalam laporan perbicaraan yang sama, pihak pendakwaan turut dilaporkan berkata tidak lama selepas pertemuan di Hong Kong itu, satu akaun luar pesisir atas nama isteri Leissner membayar AS$2 juta rasuah kepada seorang penasihat kepada perdana menteri ketika itu Najib.

Rekod tersebut bagaimanapun tidak menamakan penasihat terbabit.

Dalam pada itu, pasukan pembelaan Ng turut menunjukkan Leissner menghadiri satu pesta hari jadi gala dianjurkan Low di Las Vegas sehari selepas transaksi tersebut dilakukan.

Ketika pesta anjuran Low itu, nama Ng juga turut tidak disenaraikan sebagai tetamu.

Pembelaan turut berkata Ng juga tidak berada di dalam kapal pesiaran pada Julai 2013 ketika Low memberi seutas rantai berlian 22 karat berwarna merah jambu kepada isteri Najib, Rosmah Mansor.

Pembelaan mengatakan rantai berharga AS$23 juta dengan duit 1MDB.

Pereka rantai itu, Lorraine Schwartz juga turut didakwa berada dalam kapal pesiaran tersebut.

Selain itu, pasukan pembelaan turut menunjukkan Ng tidak bersama Leissner dan Najib ketika majlis makan malam di San Tropez, Perancis, beberapa hari selepas itu.

Bahkan, pembelaan berkata Ng tidak berada di Eropah pada waktu tersebut.

Pertuduhan terhadap Ng dijalankan selepas siasatan dilakukan terhadap kira-kira AS$6.5 bilion bon 1MDB yang dijual oleh Goldman pada 2012 dan 2013.

Pendakwa raya berkata AS$4.5 bilion daripada jumlah jualan itu diselewengkan oleh pegawai kerajaan, jurubank dan rakan subahat mereka dalam salah satu skandal terbesar dalam sejarah Wall Street.

Pada 2020, Goldman bersetuju membayar denda AS$3 bilion dan cawangannya di Malaysia turut mengaku bersalah di mahkamah AS.

Pada 2018, Leissner mengaku bersalah bersubahat dalam pengubahan wang haram dan melanggar undang-undang anti rasuah sekali gus menjadi saksi utama pendakwaan dalam perbicaraan Ng.

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles