- Iklan -
Berita

Usul lanjut penguatkuasaan subseksyen Sosma tidak lulus di Dewan Rakyat

Usul dibentang menteri dalam negeri itu tidak diluluskan, setelah melalui undi belah bahagi yang menyaksikan 84 ahli Parlimen bersetuju manakala 86 lagi tidak bersetuju.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Suasana di Dewan Rakyat selepas ahli Parlimen tidak meluluskan lanjutan Subseksyen 4(5)Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 bagi tempoh lima tahun lagi. Gambar: Bernama
Suasana di Dewan Rakyat selepas ahli Parlimen tidak meluluskan lanjutan Subseksyen 4(5)Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 bagi tempoh lima tahun lagi. Gambar: Bernama

Usul lanjutan penguatkuasaan subseksyen 4(5) Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 atau Sosma bagi tempoh lima tahun lagi, tidak diluluskan Dewan Rakyat, hari ini.

Usul yang dibentang Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainudin itu tidak diluluskan, setelah melalui undi belah bahagi yang menyaksikan 84 ahli Parlimen bersetuju manakala 86 lagi tidak bersetuju.

Mengumumkan keputusan undi itu, Yang di-Pertua Dewan Rakyat Azhar Azizan Harun berkata seramai 50 ahli Parlimen tidak hadir.

Terdahulu ketika menggulung usul itu, Hamzah berkata peruntukan subseksyen 4(5) Akta itu perlu dilanjutkan dan tempoh tahanan 28 hari dikekalkan, bagi memberi ruang masa yang cukup kepada pihak polis bagi melengkapkan siasatan kes-kes kesalahan keselamatan, yang bersifat rumit dan kompleks.

“Tanpa subseksyen ini dilanjutkan, kualiti siasatan polis dikhuatiri akan terjejas, kerana ia dibuat secara tergesa-gesa iaitu selama 24 jam sahaja untuk menjalankan siasatan, menyediakan kertas siasatan, melengkapkan kertas siasatan dan seterusnya mengemukakannya kepada timbalan pendakwa raya, untuk arahan selanjutnya,” katanya.

Kali terakhir tambahan lima tahun bagi subseksyen itu disemak dan diluluskan oleh Parlimen ialah pada 4 April, 2017, dan ia akan berakhir pada 31 Julai ini.

Terdahulu, seramai 16 ahli Parlimen mengambil bahagian dalam perbahasan usul itu, dengan rata-rata blok pembangkang yang tidak bersetuju atas alasan khuatir pelanjutan subseksyen berkenaan disalah guna bagi tujuan politik.

Menjawab perkara itu, Hamzah berkata ia hanyalah persepsi negatif yang tidak benar, memandangkan Subseksyen 4 (3) akta itu dengan jelas menyatakan, tiada seorang pun boleh ditangkap dan ditahan di bawah subseksyen berkenaan, hanya kerana kepercayaan atau aktiviti politiknya.

“Maka tidak timbul tentang isu politik yang disalah guna polis. Pada hemat saya, saya tak percaya bahawa polis berpolitik dalam mengambil tindakan undang-undang,” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa Sosma 2012 tidak akan dihapuskan, kerana ia amat baik demi menjaga keselamatan negara, sebaliknya hanya perlu ditambah baik.

Persidangan Dewan Rakyat bersambung esok.