- Iklan -
Berita

Mendiang pemaju dakwa Guan Eng ‘tak boleh disentuh’ semasa pentadbiran PH, kata pegawai SPRM

Muhammad Nazree Mansor berkata Ewe Swee Kheng memberitahunya dia mahu memberi keterangan tambahan kerana mahu 'berkata benar'.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Bekas ketua menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini. Gambar: Bernama
Bekas ketua menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini. Gambar: Bernama

Pemaju Pulau Pinang Ewe Swee Kheng yang meninggal dunia tahun lalu berkata beliau sering mendengar cerita mengenai Lim Guan Eng yang didakwa menerima wang daripada beberapa syarikat kontraktor, menyifatkan bekas ketua menteri itu sebagai seorang yang “tidak boleh disentuh” dalam kenyataan tambahan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), kata pegawai agensi itu di mahkamah hari ini.

Ewe, yang merupakan saksi utama pendakwaan dalam perbicaraan kes rasuah Lim berhubung projek terowong dasar laut bernilai RM6.3 bilion, dipercayai jatuh dari pangsapurinya di Pulau Tikus Oktober tahun lalu.

Membaca keterangan Ewe pada perbicaraan hari ini, pegawai perakam SPRM Muhammad Nazree Mansor berkata mendiang memberikan keterangan tambahan selepas tiga keterangan awalnya pada Julai 2020 kerana mahu “berkata benar”.

Menurut laporan The Malay Mail, Nazlee juga berkata Ewe memberitahunya Lim “tidak boleh disentuh” di bawah pentadbiran Pakatan Harapan (PH).

“Sekiranya mana-mana pihak mengetahui pendedahan yang saya buat di sini, saya bimbang ia akan menimbulkan implikasi negatif kepada saya,” kata Ewe dalam laporan tersebut.

“Selain itu, saya dimaklumkan bahawa YB Lim menerima wang daripada beberapa syarikat kontraktor dan saya rasa saya perlu mendedahkan kebenaran kerana terlalu banyak rahsia yang saya simpan di mana saya fikir ia akan menjejaskan perniagaan saya jika didedahkan.”

Laporan tersebut turut memetik Ewe sebagai berkata beliau “agak bimbang” tentang keselamatannya selepas memberikan keterangan, namun beliau akan “mengambil langkah berjaga-jaga”.

Keterangan beliau yang direkodkan pada Ogos tahun lalu diisytiharkan boleh diterima sebagai keterangan pada Disember oleh hakim Mahkamah Sesyen Azura Alwi yang menolak dakwaan pihak pembelaan bahawa ia adalah rekaan.

Ketika pemeriksaan balas, peguam Lim Gobind Singh Deo berkata tiga kenyataan awal Ewe pada Julai 2020 jelas sudah membebaskan bekas ketua menteri daripada dakwaan tersebut.

Gobind turut mempersoalkan dakwaan Ewe yang mengatakan Lim adalah seorang yang “tidak boleh disentuh”, mengatakan keterangan pertama diambil lima bulan selepas kerajaan PH tumbang di mana bekas ketua menteri itu kembali menjadi pembangkang.

Dalam perbicaraan di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur itu, Lim berdepan empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk menerima suapan wang dan pecah amanah bagi membantu syarikat kontraktor melaksanakan projek terowong dasar laut dan jalan perhubungan bernilai RM6.3 bilion.

Jika projek tersebut diselesaikan, terowong sepanjang 7.2km itu akan menjadi terowong bawah laut pertama dalam negara yang menghubungkan Butterworth dan Georgetown.

Pembinaan projek pembangunan itu dilaksanakan dengan usahasama antara kerajaan negeri dan Consortium Zenith Construction Sdn Bhd.