- Iklan -
Berita

Hampir 36% kanak-kanak divaksinasi, 66% dewasa terima dos penggalak

Sementara itu, 91.5% populasi remaja telah melengkapkan vaksinasi mereka.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Petugas kesihatan memberi suntikan vaksin Covid-19 kepada kanak-kanak yang hadir pada Program Imunisasi Covid-19 Kanak-Kanak (PICKids) di PPV IDCC Seksyen 15, Shah Alam. Gambar: Bernama
Petugas kesihatan memberi suntikan vaksin Covid-19 kepada kanak-kanak yang hadir pada Program Imunisasi Covid-19 Kanak-Kanak (PICKids) di PPV IDCC Seksyen 15, Shah Alam. Gambar: Bernama

Sebanyak 1,272,121 individu atau 35.8% populasi kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun di Malaysia telah menerima dos pertama vaksin Covid-19 menerusi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Kanak-Kanak (PICKids) setakat semalam.

Berdasarkan data menerusi laman web CovidNow, bagi remaja berusia 12 hingga 17 tahun, sejumlah 2,845,415 individu atau 91.5% daripada kumpulan itu telah melengkapkan vaksinasi mereka manakala 2,943,210 atau 94.6% menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.

Sejumlah 15,530,830 individu atau 66% populasi dewasa di dalam negara pula telah menerima dos penggalak dan seramai 22,945,101 atau 97.5% lengkap vaksinasi manakala 23,221,040 atau 98.7% telah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.

Sebanyak 28,377 dos vaksin telah diberikan semalam melibatkan 5,645 suntikan pertama, 1,357 suntikan lengkap dan 21,375 suntikan dos penggalak menjadikan jumlah kumulatif pemberian vaksin menerusi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) meningkat kepada 68,546,897 dos.

Sementara itu, menurut portal GitHub KKM, 73 kes kematian akibat Covid-19 direkodkan semalam dengan Perak merekodkan kematian tertinggi sebanyak 19 kes diikuti Selangor dan Johor masing-masing dengan 11 kes.

Kedah merekodkan sembilan kes, Pulau Pinang (lapan), masing-masing tiga kes di Kelantan, Melaka, Sabah dan Terengganu manakala Negeri Sembilan, Perlis dan Sarawak, masing-masing satu kes.