- Iklan -
Berita

Negara rekod trend penurunan kes Covid, kata KP kesihatan

Sementara itu, Sarawak merekodkan kadar kebolehjangkitan (Rt) tertinggi iaitu 1.03.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Beberapa pengunjung dilihat memakai pelitup muka ketika melalui Jalan Tengah di Jalan Sultan Ismail, Kuala Lumpur.
Beberapa pengunjung dilihat memakai pelitup muka ketika melalui Jalan Tengah di Jalan Sultan Ismail, Kuala Lumpur.

Kes positif harian Covid-19 negara terus mencatatkan trend penurunan apabila 17,828 kes direkodkan semalam berbanding 19,105 kes pada 20 Mac, menjadikan 4,010,952 kes kumulatif.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata daripada 17,828 kes positif Covid-19 yang dicatatkan semalam, sebanyak 9,121 kes atau 51.16% melibatkan Kategori Satu manakala 8,551 kes atau 47.96% membabitkan Kategori Dua.

“Sebanyak 55 kes (0.31%) berada dalam Kategori Tiga; 48 kes (0.27%) dalam Kategori Empat dan 53 kes (0.30%) dalam kategori lima,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau menjelaskan daripada 156 kes Covid-19 yang melibatkan Kategori Tiga, Empat dan Lima, 33 kes tidak divaksinasi atau belum lengkap divaksinasi; 64 kes pula telah menerima dua dos vaksin tetapi belum menerima dos penggalak dan 59 kes telah menerima dos penggalak.

Sementara itu, Noor Hisham berkata 28,003 kes sembuh dilaporkan semalam, menjadikan kes sembuh kumulatif sebanyak 3,712,668.

Beliau berkata sebanyak 358 kes memerlukan rawatan di unit rawatan rapi (ICU) dan 199 kes memerlukan alat bantuan pernafasan.

Menurut beliau, lima negeri menunjukkan peratusan pengisian katil kes kritikal atau ICU lebih 50% iaitu Kuala Lumpur (63%), Kelantan (58%), Johor (57%), Selangor (57%) dan Perak (51%).

Mengenai nilai kadar kebolehjangkitan (Rt) Covid-19 negara, beliau berkata ia masih kekal 0.92 dengan Sarawak mencatatkan Rt tertinggi iaitu 1.03 diikuti Perak dengan 1.01.

Beliau juga memaklumkan negara merekodkan dua kluster baru menjadikan 6,914 kluster secara keseluruhan dengan 292 kluster aktif.