- Iklan -
Berita

Memorandum guna ketum, kanabis, hemp diserah kepada PM minggu depan

Zahidi Zainul Abidin berkata langkah berkenaan dilakukan bagi mendapatkan kelulusan terhadap tanaman berkenaan supaya boleh digunakan untuk industri perubatan dan eksport ke luar negara.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Penanaman ganja jenis hemp telah dibenarkan di kebanyakan negara termasuk negara jiran Thailand bagi tujuan perubatan atau rekreasi. Gambar: AFP
Penanaman ganja jenis hemp telah dibenarkan di kebanyakan negara termasuk negara jiran Thailand bagi tujuan perubatan atau rekreasi. Gambar: AFP

Satu memorandum hasil dapatan daripada forum awam Masa Depan Mampan Industri Perubatan Kanabis, Hemp dan Ketum dijangka diserahkan kepada Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob, selewat-lewatnya minggu depan.

Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Zahidi Zainul Abidin berkata langkah berkenaan akan dilakukan pihaknya bagi mendapatkan kelulusan terhadap tanaman berkenaan supaya boleh digunakan untuk industri perubatan dan dieksport ke luar negara.

Beliau berkata langkah segera untuk meluluskan tanaman itu untuk dieksport dan menjadi bahan perubatan adalah perlu bagi mengelak Malaysia daripada ketinggalan dalam mematenkan bahan berkenaan.

“Agensi dadah antarabangsa dari Amerika Syarikat dan Jerman dalam proses untuk mematenkan ketum, kalau kita lambat luluskan kebenaran, negara yang akan rugi.

“Kalau lambat patenkan, maka kita yang tanam ketum ini terpaksa mengeluarkan bayaran tinggi untuk mengeksport ketum ke luar negara walaupun mereka tidak tanam,” katanya pada sidang media majlis penyerahan Memorandum Dapatan Forum Awam Masa Depan Mampan Industri Perubatan Kanabis, Hemp dan Ketum Malaysia hari ini.

Beliau berkata memorandum tersebut juga akan diserahkan kepada kementerian dalam negeri dan kementerian kesihatan.

Pada masa sama, Zahidi berkata beliau akan mengemukakan memorandum hasil dapatan itu kepada setiap menteri besar dan ketua menteri berhubung keberkesanan tanaman tersebut dalam perubatan selain mendapatkan sokongan ahli Parlimen untuk meminda Akta Racun 1952.

“Kami akan berjumpa setiap menteri besar (dan ketua menteri) dan kemukakan laporan perubatan daripada universiti contohnya Universiti Thailand yang memberi laporan ketum bagus untuk saraf dan Universiti Sains Malaysia (USM) juga ada membuat kajian dan kami akan kemukakan.

“Akta yang ada, kita tak boleh eksport, jadi kami nak ubah akta dengan melantik ahli Parlimen yang menyokong kami seterusnya bincang dengan peguam negara,” katanya.

Laporan kajian mengenai kebaikan dan manfaat kanabis, hemp serta ketum dan memorandum tersebut diserahkan kepada Zahidi di forum awam berkenaan pada 16 Disember lepas.