Monday, May 16, 2022

Laporan audit dapati bayaran tidak teratur RM1.2 bilion akibat tidak patuh pengurusan kewangan

Laporan Ketua Audit Negara juga mendapati kerugian wang awam RM11.45 juta serta pembaziran RM8.87 juta kepada kerajaan pada 2020.

Other News

Ketidakpatuhan terhadap pengurusan kewangan menyebabkan isu pembayaran tidak teratur berjumlah RM1.299 bilion, kerugian wang awam RM11.45 juta serta pembaziran RM8.87 juta kepada kerajaan pada 2020.

Ketua Audit Negara Nik Azman Nik Abdul Majid memaklumkan tahun lepas, Jabatan Audit Negara telah melaksanakan pengauditan pematuhan terhadap lima agensi persekutuan dan mengemukakan 19 syor untuk dipertimbangkan pelaksanaannya.

“Setakat 31 Disember 2021, sebanyak 140 penyata kewangan telah siap diaudit dan dikeluarkan Sijil Ketua Audit Negara manakala tujuh penyata kewangan dalam proses pengauditan.

“Sebanyak 109 penyata kewangan telah diberikan Sijil Ketua Audit Negara dengan Pendapat Tanpa Teguran, 14 penyata kewangan telah diberikan Pendapat Tanpa Teguran dengan Penegasan Perkara dan 17 penyata kewangan telah diberikan Pendapat Berteguran,” katanya dalam kenyataan mengenai Laporan Ketua Audit Negara (LKAN), hari ini.

Laporan itu yang dibentang di Dewan Rakyat hari ini melibatkan LKAN Tahun 2020 Siri 1 mengenai aktiviti kementerian, jabatan kerajaan persekutuan dan badan berkanun persekutuan; Penyata Kewangan dan Pengauditan Pematuhan Agensi Persekutuan Tahun 2020.

Selain itu, laporan juga melibatkan pengurusan syarikat kerajaan persekutuan serta 13 naskhah LKAN peringkat negeri iaitu LKAN Tahun 2020 Siri 1 bagi aktiviti kementerian, jabatan, agensi dan pengurusan syarikat kerajaan negeri.

Nik Azman berkata pengauditan prestasi terhadap aktiviti kerajaan dijalankan selaras Seksyen 6(d) Akta Audit 1957 serta berpandukan piawaian pengauditan antarabangsa yang dikeluarkan Pertubuhan Antarabangsa Institusi Audit Tertinggi (INTOSAI).

Katanya, pengauditan prestasi yang dijalankan bertujuan menilai pencapaian objektif aktiviti, projek dan program kerajaan serta sama ada pelaksanaannya dilakukan dengan berhemat, cekap dan berkesan.

“Ia juga bertujuan menilai sejauh mana wang awam dibelanjakan dengan berhemat, cekap dan berkesan tanpa berlaku pemborosan dan pembaziran serta mendapat ‘nilai terbaik untuk wang’, katanya.

Sementara itu, sebanyak 10 pengauditan prestasi bernilai RM39.719 bilion telah dilaksanakan di lapan jabatan, tiga syarikat milik kerajaan dan empat badan berkanun Persekutuan dan agensi di bawah tujuh kementerian.

Beliau berkata daripada jumlah tersebut, enam pengauditan melibatkan kategori program dan aktiviti, tiga kategori projek serta satu melibatkan sistem ICT manakala secara keseluruhannya, pelaksanaan aktiviti, projek dan program kerajaan persekutuan adalah mengikut objektif yang ditetapkan.

“Bagaimanapun, masih terdapat kelemahan seperti sasaran output dan pencapaian keberhasilan yang ditetapkan tidak dapat dicapai atau tidak boleh dinilai. Hal ini kerana sasaran kuantitatif, mekanisme dan indikator tidak ditetapkan, serta data berkaitan tidak diselenggarakan dengan lengkap dan kemas kini,” katanya.

Nik Azman berkata sebanyak 33 syor dikemukakan untuk dipertimbangkan pelaksanaannya oleh kementerian, jabatan dan agensi Persekutuan yang diaudit.

Jabatan Audit Negara juga telah menjalankan pengauditan prestasi terhadap 18 program, aktiviti dan projek melibatkan dua kementerian di Sabah dan Sarawak, 15 jabatan dan 12 agensi kerajaan negeri serta pengauditan pengurusan syarikat terhadap 11 syarikat kerajaan negeri.

Sebanyak 111 syor telah dikemukakan melibatkan 70 syor dipertimbangkan pelaksanaannya oleh kementerian, jabatan dan agensi negeri serta 41 syor untuk syarikat kerajaan negeri yang berkenaan, katanya.

Nik Azman berkata LKAN mengenai Pengurusan Syarikat Kerajaan Persekutuan 2020 Siri 1 mengandungi hasil pengauditan terhadap enam syarikat kerajaan Persekutuan.

“Secara keseluruhannya, empat syarikat telah mencapai objektif penubuhan syarikat; dua syarikat menunjukkan tahap amalan tadbir urus korporat yang baik; dan tiga syarikat memperlihatkan kedudukan kewangan yang stabil,” katanya.

Beliau berkata sebanyak 31 syor telah dikemukakan kepada pihak pengurusan syarikat berkenaan untuk diambil tindakan bagi penambahbaikan perkara yang dilaporkan.

LKAN mengenai aktiviti kementerian dan jabatan kerajaan Persekutuan dan badan-badan berkanun Persekutuan; Penyata Kewangan dan Pengauditan Pematuhan Agensi Persekutuan dan LKAN 2020 Siri 1 mengenai Pengurusan Syarikat Kerajaan Persekutuan akan dimuat naik di laman web Jabatan Audit Negara.

Orang awam boleh melayarinya di http://www.audit.gov.my selepas pembentangannya di Dewan Rakyat.

LKAN peringkat negeri pula hanya akan dimuat naik di laman web Jabatan Audit Negara selepas pembentangannya di Dewan Undangan Negeri masing-masing.

Isu-isu LKAN Tahun 2020 Siri 1 juga akan dimuat naik di Portal Papan Pemuka Ketua Audit Negara (AGD) mulai pukul 10.30 pagi dan sebarang pertanyaan lanjut serta pandangan boleh dihantar kepada [email protected]

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles