- Iklan -
Berita

Jho Low seleweng dana 1MDB sebelum akaun bank Najib dibuka, kata pembelaan

Shafee berkata Najib tidak menerima wang daripada bon yang dikeluarkan pada 2009 oleh Lembaga Pelaburan Terengganu kerana akaun banknya di AmBank hanya dibuka pada 13 Januari 2011.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Bekas perdana menteri Najib Razak di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini. Gambar: Bernama
Bekas perdana menteri Najib Razak di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini. Gambar: Bernama

Pembelaan dalam perbicaraan kes Najib Razak membabitkan 1Malaysia Development (1MDB) semalam berkata ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho, atau Jho Low, telah menyeleweng dana milik syarikat pelaburan strategik itu melalui keuntungan daripada terbitan Nota Jangka Sederhana Islamik (IMTN) bernilai RM5 bilion tanpa pengetahuan beliau.

Peguam Muhammad Shafee Abdullah juga berkata Najib tidak menerima wang daripada bon yang dikeluarkan pada 2009 oleh pendahulu 1MDB iaitu Lembaga Pelaburan Terengganu (TIA) kerana akaun bank bekas perdana menteri itu di AmBank hanya dibuka pada 13 Januari 2011.

Bekas pengarah bukan eksekutif 1MDB Ismee Ismail, yang juga saksi pendakwaan ke-13, bersetuju dengan cadangan peguam itu bahawa tiada hasil daripada bon IMTN yang telah diseleweng oleh Jho Low dimasukkan ke akaun peribadi Najib.

Shafee, yang merujuk kepada artikel di blog dalam talian Malaysia Today, memaklumkan mahkamah bahawa Jho Low telah menerima wang yang diseleweng daripada terbitan bon itu, yang dipindahkan kepada dua syarikat yang mempunyai kaitan dengannya iaitu Country Group Securities PCL dan Aktis Capital Singapore Pte Ltd berjumlah RM74 juta pada 2009.

“Kedua-dua syarikat mengaut keuntungan mudah apabila melanggan bon 1MDB pada harga diskaun sebelum menjualnya semula pada nilai muka (atau nilai atas kertas) pada 2009 kepada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan syarikat insurans Prudential.

“Kami akan membuktikan bahawa tiada keuntungan IMTN yang masuk ke akaun Najib. Wang yang terdapat dalam akaun Najib adalah derma dari Arab Saudi. Pelanggan saya bertanggapan ia adalah daripada kementerian kewangan Arab Saudi.

“Akaun AmBank Najib (yang didakwa menerima berbilion ringgit dana 1MDB) dibuka pada 2011, jadi ia tidak ada kena-mengena dengan IMTN,” kata Shafee.

Peguam itu turut menyoal saksi tersebut sama ada beliau biasa dengan terma “bekerja secara silo” yang sering diulang oleh tiga pengurusan tertinggi 1MDB apabila mereka dipanggil sebagai saksi iaitu bekas ketua pegawai eksekutif 1MDB Shahrol Azral Ibrahim Halmi dan Mohd Hazem Abd Rahman serta ketua pegawai kewangannya, Azmi Tahir.

Saksi itu menjawab “Ya.”

Shafee: Adakah ia satu amalan yang baik dalam bidang korporat?

Ismee: Tidak.

Shafee: Adakah anda setuju dengan saya bahawa ia adalah anatema iaitu sesuatu yang amat bertentangan dengan tadbir urus baik.

Ismee: Ya.

Shafee: Dan ia merupakan suatu amalan yang tidak digalakkan kerana kerahsiaan berupaya membiakkan rasuah dan tingkah laku penipuan dalam mana-mana syarikat. Justeru, amalan bekerja secara silo merupakan punca sesebuah syarikat menjadi korup dan penuh dengan transaksi berbentuk penipuan seperti yang berlaku dalam 1MDB. Adakah anda bersetuju dengan saya?

Ismee: Itulah sebabnya kami gagal.

Najib, 68, berdepan empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh rasuah berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan amaun sama.

Perbicaraan di hadapan hakim Collin Lawrence Sequerah bersambung hari ini.