- Iklan -
Berita

35.7% kanak-kanak divaksinasi, 65.9% dewasa terima dos penggalak

91.4% populasi remaja juga telah melengkapkan vaksinasi mereka.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Gelagat seorang kanak-kanak ketika petugas kesihatan dari Megaklinik Zahran mahu memberi vaksin kepadanya pada Program Imunisasi Covid-19 Kanak-Kanak (PICKids) di PPV Dewan Komuniti Taman Bukit Mewah, Kajang.
Gelagat seorang kanak-kanak ketika petugas kesihatan dari Megaklinik Zahran mahu memberi vaksin kepadanya pada Program Imunisasi Covid-19 Kanak-Kanak (PICKids) di PPV Dewan Komuniti Taman Bukit Mewah, Kajang.

Sebanyak 15,507,221 individu dewasa atau 65.9% daripada populasi kumpulan itu di negara ini telah menerima dos penggalak Covid-19 setakat semalam.

Berdasarkan data menerusi laman web CovidNow, sejumlah 22,944,111 atau 97.5% daripada populasi sama telah melengkapkan vaksinasi mereka manakala 23,220,067 atau 98.7% menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.

Bagi remaja berusia 12 hingga 17 tahun pula, 2,844,722 individu atau 91.4% daripada populasi itu telah melengkapkan vaksinasi mereka manakala 2,942,850 atau 94.6% menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.

Sementara itu, untuk populasi kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun, 1,267,491 individu atau 35.7% kumpulan itu telah menerima dos pertama vaksin Covid-19 melalui Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Kanak-kanak (PICKids).

Vaksinasi harian semalam menyaksikan sebanyak 28,360 dos diberikan meliputi 4,848 dos pertama; 1,651 dos kedua dan 21,861 dos penggalak, menjadikan jumlah kumulatif dos vaksin yang diberikan di bawah Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) sebanyak 68,515,709.

Sementara itu, menurut portal GitHub KKM, 63 kes kematian akibat Covid-19 direkodkan semalam dengan Johor tertinggi iaitu 14 kes, diikuti Selangor 13 kes, Perak (12), dan Kedah (empat).

Selain itu, tiga kes dilaporkan masing-masing di Pulau Pinang, Sarawak dan Kuala Lumpur diikuti Melaka, Sabah dan Terengganu dengan dua kes masing-masing, dan satu kes dilaporkan di Kelantan, Negeri Sembilan, Pahang, Perlis dan Labuan.