- Iklan -
Berita

Tidak ramai keluar mengundi jika PRU15 diadakan secara tergesa-gesa, kata penganalisis

Pandemik Covid-19 dan dilihat menjadi faktor utama ramai pengundi terutama yang berada di luar kawasan enggan melaksanakan tanggungjawab mereka.

Azzman Abdul Jamal
2 minit bacaan
Kongsi
Petugas kesihatan memakai pakaian PPE lengkap ketika melakukan sanitasi pusat pengundian pada PRN Sarawak tahun lalu.
Petugas kesihatan memakai pakaian PPE lengkap ketika melakukan sanitasi pusat pengundian pada PRN Sarawak tahun lalu.

Peratusan keluar mengundi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dijangka rendah sekiranya ia diadakan dalam masa terdekat dan secara tergesa-gesa, kata beberapa penganalisis.

Mereka berkata, beberapa pilihan raya kecil (PRN) yang diadakan seperti di Melaka dan Johor dipengaruhi pandemik Covid-19 dan dilihat menjadi faktor utama ramai pengundi terutamanya yang berada di luar kawasan enggan melaksanakan tanggungjawab mereka.

Malah, penganalisis juga berpandangan rakyat enggan keluar mengundi kerana meluat dengan kerenah ahli politik yang sentiasa sibuk berebut kuasa dan jawatan tetapi mengabaikan nasib orang ramai yang sedang menghadapi pelbagai musibah termasuk banjir.

Azmil Mohd Tayeb, dari USM berkata perkara itu tidak terlalu membimbangkan kerana pelaksanaan PRN dan pilihan raya kecil (PRK) terutamanya sekiranya ia dibuat secara mendadak memang akan mempunyai peratusan pengundi lebih rendah berbanding PRU.

Namun begitu, beliau menyarankan supaya kerajaan dan parti politik tidak memandang remeh isu ini dan perlu tingkatkan usaha menaikkan kadar peratusan mengundi pada masa hadapan.

“Situasi pandemik yang membuatkan ramai tidak mahu mengambil risiko jangkitan, malah pengundi juga berasa muak dengan ahli dan parti politik yang dilihat cuma merebutkan kuasa,” katanya kepada MalaysiaNow.

“Selain itu, terdapat juga kesulitan dan kekurangan motivasi pengundi luar untuk pulang mengundi.

“Ini ditambah juga dengan naratif kempen yang tidak berkesan disampaikan kebanyakan parti politik.

PRN Johor menyaksikan peratusan mengundi rendah iaitu 54.92% daripada 2,597,742 pengundi yang layak mengundi, sekali gus menunjukkan hampir 45% pengundi Johor tidak keluar mengundi.

PRN Melaka pula menyaksikan peratusan mengundi 65.85%.

Kedua-dua PRN tersebut tidak mencecah sasaran SPR sebanyak 70% keluar mengundi.

Sementara itu, penganalisis politik Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura, Oh Ei Sun, menyifatkan peratusan mengundi rendah sebagai kebimbangan besar terhadap sebuah negara demokrasi apabila penyertaan pengundi adalah kunci utama terhadap amalan demokrasi sihat.

Oh bagaimanapun menegaskan keputusan tidak mengundi juga merupakan hak pengundi di mana mereka ingin meluahkan rasa tidak puas hati terhadap situasi politik semasa negara.

“Ramai yang tidak turun mengundi kemungkinan daripada penyokong Pakatan Harapan (PH) atau pro-pembangkang kerana kecewa dengan Langkah Sheraton yang tumbangkan kerajaan reformasi yang diundi mereka.

“Mereka berasa hilang harapan untuk mengembalikan kerajaan itu, contohnya apabila kerajaan Perikatan Nasional (PN) ditumbangkan tahun lalu, mereka mula berasa undi sebagai usaha sia-sia,” katanya.

Tindakan PH menolak tawaran perjanjian persefahaman (MoU) oleh Muhyiddin Yassin menyebabkan jawatan perdana menteri kembali kepada Umno.

PH bagaimanapun menandatangani MoU bersama Ismail Sabri Yaakob dari Umno yang menjadi perdana menteri selepas Muhyiddin meletakkan jawatan akibat hilang sokongan.

Tambah Oh, golongan ini juga berkemungkinan bertambah kecewa apabila PH menandatangani MoU menyokong kerajaan semasa yang disifatkan sebagai regresif.

“Walaupun mereka berat hati untuk keluar mengundi kerana dianggap sebagai pengundi PH yang ‘terabai’, mereka juga tidak akan mengundi Barisan Nasional (BN) atau PN, justeru kumpulan ini lebih rela duduk di rumah,” katanya.

Bagi James Chin dari University of Tasmania, Australia sekiranya PRU15 diadakan pada tahun hadapan, ada kemungkinan jumlah pengundi akan kembali meningkat memandangkan impak penularan Covid-19 dijangka akan berkurang pada hujung tahun ini.

“Kita perlu perhatikan juga perkembangan jangkitan Covid-19 di Malaysia sebab ia akan memberi kesan terhadap suasana PRU15 akan datang,” katanya dan menambah jumlah peratusan rendah bukan satu kebimbangan kerana angka itu akan sentiasa berubah setiap pilihan raya.

“Covid-19 bukan sahaja mengubah karakter pilihan raya tetapi juga cara parti politik dalam negara berkempen.”