- Iklan -
Berita

Rusia buka koridor kemanusiaan dari Mariupol mulai Isnin

Sekurang-kurangnya 902 orang awam telah terbunuh dan sekitar 1,459 cedera sejak Rusia melancarkan operasi ketenteraan di Ukraine.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Tentera Ukraine dilihat bersiap sedia di barisan hadapan bagi menghadapi puak pemisah yang disokong Rusia di bandar Schastia, berdekatan wilayah timur Ukraine, Luhansk pada 23 Februari. Gambar: AFP
Tentera Ukraine dilihat bersiap sedia di barisan hadapan bagi menghadapi puak pemisah yang disokong Rusia di bandar Schastia, berdekatan wilayah timur Ukraine, Luhansk pada 23 Februari. Gambar: AFP

Kementerian pertahanan Rusia pada Ahad mengumumkan pembukaan koridor bantuan kemanusiaan dari bandar Mariupol bermula Isnin, lapor Agensi Anadolu (AA).

Pengarah Pusat Pengurusan Pertahanan Rusia, Mikhail Mizintsev berkata koridor berkenaan mula dibuka pada 10 pagi waktu Moscow dari bandar Mariupol ke timur dan barat.

Mizintsev menyeru pihak berkaitan mematuhi gencatan senjata bermula 9.30 pagi waktu tempatan.

Menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), sekurang-kurangnya 902 orang awam telah terbunuh dan sekitar 1,459 cedera sejak Rusia melancarkan operasi ketenteraan di Ukraine pada 24 Februari.

Angka sebenar dikhuatiri lebih tinggi.

Lebih 3.38 juta rakyatnya telah melarikan diri sejak krisis tercetus, dengan lebih dua juta pelarian mencari perlindungan di Poland, hampir 530,000 ke Romania dan lebih 362,000 di Moldova.