Monday, May 23, 2022

Suri rumah Bintulu hidupkan tradisi pembuatan belacan

Pembuatan bahan makanan terkenal itu memerlukan proses yang lama dan membosankan, bagaimanapun tradisinya tetap diteruskan seiring peralihan negara ke fasa endemik.

Other News

Di luar sebuah rumah yang terletak di Kampung Baru, berhampiran bandar Bintulu, Dayang Dara Awang Ullis duduk sambil menumbuk udang geragau dalam lesungnya sehingga menjadi pes.

Di sebelahnya, udang geragau yang sedang dikeringkan menunggu giliran untuk ditumbuk.

Selain dikenali sebagai bandar minyak dan gas, Bintulu juga merupakan tempat tinggal bagi sebuah komuniti nelayan yang akan sibuk – jika musim udang geragau tiba.

Ketika musimnya tiba, suri rumah di Bintulu akan menunggu bot yang membawa udang geragau yang ditangkap.

Kerja-kerja memprosesnya akan dimulakan, bermula dari mengeringkan udang tangkapan selama beberapa hari sebelum ia ditumbuk dan dicampur dengan ramuan lain sehingga menjadi belacan.

Nelayan ke laut setiap pagi bagi menangkap udang.

Hasil kerja mereka itu pada musim itu penting bagi memastikan bekalan yang mencukupi untuk dijual sepanjang tahun.

Namun, proses membuat belacan itu memakan masa dan membosankan, terutama bagi suri rumah seperti Dara yang membuat belacan menggunakan kaedah tradisional.

Setiap pagi, dia akan memeriksa udang kering di luar rumahnya. Yang kering sepenuhnya akan dimasukkan ke dalam lesung untuk ditumbuk.

Proses ini berterusan selama beberapa hari dan dibuat di bawah terik matahari.

Selepas udang yang ditumbuk berubah menjadi sebati, ia akan dibentuk menjadi bongkah kecil dan sedia untuk dimakan.

“Membuat belacan ambil masa yang lama,” kata Dara kepada MalaysiaNow.

“Untuk membuat belacan terbaik, kita mesti menggunakan udang berkualiti tinggi, tidak boleh ada pasir, ikan kecil, udang besar atau kotoran.”

Udang dijemur sebelum ditumbuk menjadi pes untuk membuat belacan.

Kini, di usia 61 tahun, Dara sangat pakar dalam penyediaan belacan tradisional.

Menurut Dara, dia hanya memasukkan bahan-bahan segar ke dalam belacan yang dibuatnya demi mengekalkan mutunya.

“Udang geragau hanya boleh dikeringkan pada hari yang panas,” tambahnya.

“Jika tidak, hasilnya tidak akan jadi begitu baik.”

Bagi proses pengeringan sahaja, Dara berkata ia boleh mengambil masa sehingga empat hari, bergantung pada cuaca.

Selain itu, katanya, udang yang digunakan mesti segar dan bersih dan tidak boleh dicampur dengan anak ikan yang mungkin turut masuk ke dalam pukat kerana saiznya yang kecil.

“Jika ini berlaku, rasa belacan itu akan jadi pahit,” kata Dara.

Bongkah belacan yang siap diproses dan boleh digunakan sebagai bahan masakan.

Dara turut menambah lebih lama belacan disimpan, aroma rasa dan teksturnya akan bertambah sedap.

“Ia boleh bertahan sehingga lima tahun, bergantung cara anda menyimpannya,” katanya.

Belacan yang dijual oleh Dara adalah produk perniagaan keluarganya yang sudah lama dijalankan.

Dia dan adik-beradiknya, Dayang Patimah dan Dayang Hasnah sudah membuat dan menjual belacan sejak lebih 50 tahun lalu.

Namun, seperti kebanyakan perniagaan kecil yang lain, perniagaan mereka berdepan kesan yang teruk ekoran pandemik Covid-19.

Sebelum pandemik melanda, pernah mengeluarkan kira-kira 20kg belacan setiap bulan bagi edaran tempatan.

Produk belacan mereka juga turut banyak dihantar ke Miri malah ke Johor.

Permintaan yang berterusan bagi belacan hasil tangan Dara dan adik-beradiknya membolehkan mereka mendapat pendapatan sekitar RM1,000 hingga RM1,200 sebulan.

Dengan pengumuman kerajaan bahawa negara akan mula beralih ke fasa endemik bulan depan, Dara dan adik-beradiknya berharap keadaan akan bertambah baik untuk mereka meneruskan perusahaan kecil itu.

“Ia seakan satu rahmat untuk kami di sini,” katanya.

“Kami berharap kali ini, kami akan dapat jana lebih banyak pendapatan.”

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles