- Iklan -
Berita

Jalan panjang dalam usaha mencegah gangguan seksual

Kumpulan advokasi berkata usaha perlu ditingkatkan termasuk meminda RUU Anti Gangguan Seksual 2021.

Syaza Norazharuddin
2 minit bacaan
Kongsi
Seorang wanita berjalan di ruang perniagaan di Jalan Tuanku Abdul Rahman, Kuala Lumpur.
Seorang wanita berjalan di ruang perniagaan di Jalan Tuanku Abdul Rahman, Kuala Lumpur.

Cynthia Sara (bukan nama sebenar) bekerja sebagai pegawai perubatan di pejabat daerah ketika dia menjadi perhatian seorang pegawai lelaki yang turut bertugas di tempat yang sama.

Tidak beberapa lama bekerja di sana, Cynthia mula mendapat mesej di luar waktu kerja daripada lelaki itu yang sudah berkahwin dan berusia 20 tahun lebih tua daripadanya, mengajaknya untuk keluar dating.

Walaupun sentiasa menolak ajakan dan mengingatkan lelaki itu tentang isterinya, Cynthia tetap menerima mesej-mesej yang tidak senonoh daripada lelaki itu.

“Hai dr, saya nak ajak awak keluar,” kata salah satu mesejnya.

“Hai dr, saya nak cium awak, awak nak cium saya balik?”

“Awak dah ada anak? Saya boleh bagi awak satu.”

Mesej daripada lelaki itu berterusan selama beberapa tahun walaupun pelbagai cara dibuat supaya lelaki itu berhenti menghantarnya.

Cynthia adalah salah eorang daripada ramai wanita di seluruh negara yang berdepan gangguan seksual setiap hari.

Tinjauan 2021 yang dijalankan oleh Pusat Kajian Keutuhan Tadbir Urus dan Akauntabiliti dengan kerjasama All Women’s Action Malaysia (Awam) mendapati lebih 600 daripada 1,056 responden (57%) pernah mengalami sentuhan yang tidak diinginkan.

Awam berkata pihaknya menerima 256 laporan gangguan seksual tahun lepas, baik secara dalam talian atau fizikal.

Di seluruh dunia, Dana Pembangunan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Wanita (Unifem) bagi kesaksamaan gender dan pemerkasaan wanita menganggarkan satu daripada setiap tiga wanita pernah mengalami gangguan seksual.

Walaupun undang-undang sedia ada seperti Akta Pekerjaan dan Kanun Keseksaan mengandungi klausa mengenai gangguan seksual, ramai mendesak supaya rang undang-undang (RUU) khas bagi melindungi mangsa dan menyediakan cara yang selamat untuk membuat aduan kepada pihak berkuasa selain polis.

Walaupun RUU Anti Gangguan Seksual dibentangkan di Parlimen pada Disember lalu, namun masih terdapat kebimbangan ia masih belum cukup untuk menangani masalah tersebut.

“RUU yang ada ketika ini bersifat reaktif dan tidak proaktif,” kata Emillia Shariff dari Speak Up Malaysia.

“Kami memerlukan RUU komprehensif yang meliputi pencegahan gangguan seksual dan memberikan perlindungan yang lebih baik kepada mangsa bagi sebarang tindak balas jika mereka bersuara.”

Dalam kes Cynthia, gangguan itu berterusan walaupun selepas dia memohon pertukaran ke pejabat lain.

“Dia terus hantar mesej kepada saya walaupun saya sudah berpindah di tempat baru,” katanya.

“Saya tidak balas. Saya tolak dengan sopan, bahkan pernah juga saya beritahu dengan nada kasar, namun masih tidak berjaya.”

Kumpulan Tindakan Bersama bagi Kesaksamaan Gender (JAG), sebuah pertubuhan masyarakat sivil yang melakukan usaha bagi kesaksamaan gender berkata RUU Anti Gangguan Seksual mesti menggesa syarikat mengambil langkah bagi mewujudkan ruang selamat selain mengelakkan mangsa daripada mengalami kesan negatif akibat aduan mereka.

Menurut Daniella dari Persatuan Peguam Wanita Malaysia, kewajipan undang-undang sedemikian akan memberikan perbezaan besar dalam RUU tersebut berbanding bentuknya ketika ini.

“Tidak kira betapa besar atau kecil organisasi itu, RUU itu akan menguatkuasakan langkah yang sewajarnya mesti dilaksanakan bagi mewujudkan ruang bebas gangguan seksual,” katanya.

Sementara itu, Asrawati Aslan dari Awam berkata RUU yang dipinda itu akan mewajibkan polisi anti gangguan seksual yang komprehensif dan langkah pencegahan seperti latihan kesedaran.

Ia juga akan mewajibkan universiti dan sekolah untuk membuat dasar anti gangguan seksual.

“Dengan pelaksanaan yang berkesan, ia akan mengurangkan perlakuan gangguan seksual di institusi pendidikan dalam jangka masa panjang,” katanya.

RUU Anti Gangguan Seksual akan dibentangkan untuk bacaan kali kedua di Dewan Rakyat bulan ini.