- Iklan -
Berita

Lupakan duit untung, pulangkan wang kami, kata pelabur projek gagal di Thailand

Semakin ramai tampil berkongsi pengalaman kehilangan wang yang dimasukkan ke dalam projek pelaburan APC.

Azzman Abdul Jamal
3 minit bacaan
Kongsi
Salah seorang pelabur, Dr P Mahendran menegaskan apa jua penjelasan yang diberikan oleh APC tidak boleh diterima memandangkan mereka sudah memberi jaminan secara hitam putih.
Salah seorang pelabur, Dr P Mahendran menegaskan apa jua penjelasan yang diberikan oleh APC tidak boleh diterima memandangkan mereka sudah memberi jaminan secara hitam putih.

Selepas lebih lapan tahun menunggu, pelabur yang terlibat dalam pelaburan tanaman pokok gaharu di utara Thailand kini mendesak syarikat yang bertanggungjawab mengendalikan projek itu supaya memulangkan kembali wang mereka.

Mereka kini tidak mengharapkan pulangan keuntungan, memandangkan pihak syarikat gagal mengotakan janji dalam mematuhi kontrak selain tiada petanda projek itu akan berhasil.

Sebelum ini MalaysiaNow melaporkan seramai 180 individu mengalami kerugian RM22.6 juta apabila pelaburan bagi projek tanaman pokok gaharu yang dilaksanakan sebuah syarikat antarabangsa, Asia Plantation Capital (APC).

Susulan itu, pelabur-pelabur tersebut diwakili sekumpulan peguam membuat permohonan kepada Mahkamah Majistret Jenayah Kuala Lumpur supaya mengarahkan pihak polis menjalankan siasatan selepas kes itu diklasifikasikan sebagai tiada tindakan lanjut (NFA).

Selepas laporan itu disiarkan minggu lalu beberapa pelabur yang tidak disenaraikan dalam kalangan 180 individu itu tampil berkongsikan pengalaman mereka bersama MalaysiaNow.

Menerusi wawancara yang dijalankan, mereka turut mengesahkan artikel yang dilaporkan MalaysiaNow berhubung skim pelaburan yang dilaksanakan syarikat tersebut.

Berdasarkan wawancara yang dijalankan, pelabur memberitahu jemputan bagi skim pelaburan itu bermula seawal 2011 apabila syarikat itu mengadakan sebuah ekspo di sebuah hotel di Kuala Lumpur untuk memperkenalkan mengenai skim pelaburan pokok gaharu yang mana produknya mempunyai permintaan tinggi di pasaran global.

Pelabur berkata, mereka akan membuat transaksi pembelian pertama semasa menghadiri ekspo itu dan pembelian dilakukan berdasarkan setiap plot dengan satu plot merangkumi 100 pokok.

Ada antara pelabur turut dibawa ke Sakon Nakhon yang terletak di utara Thailand, sebagai bukti tanah itu sememangnya wujud dan mereka kemudian akan ditawarkan peluang untuk menambah pembelian plot tanah di lokasi baru dengan harga promosi.

Keadaan ini menyebabkan pelabur akan melakukan beberapa siri transaksi – selain daripada pembelian awal semasa perjumpaan pertama di ekspo – kerana ingin meraih keuntungan sebanyak mungkin.

“Pada 2011, mereka berjanji akan memaklumkan perkembangan tanaman menerusi laporan tahunan dan pulangan akan diterima dalam tempoh tujuh tahun,” kata seorang pelabur yang tidak mahu dinamakan kepada MalaysiaNow.

“Namun sebaik mendekati tempoh matang, saya bersama beberapa pelabur lain dijemput menghadiri satu sesi bersama APC dan mereka memberitahu semua tanaman kami sudah mati.”

Tambahnya, syarikat itu kemudian berkata tidak boleh menjelaskan bayaran seperti yang dijanjikan.

Seorang lagi pelabur, Dr P Mahendran, menegaskan apa jua penjelasan yang diberikan oleh syarikat sememangnya tidak boleh diterima memandangkan mereka sudah memberi jaminan secara hitam putih.

“Setiap pelaburan sudah tentu ada risiko, tetapi syarikat ini berjanji bahawa apa jua situasi yang melanda, mereka akan membayar SD$ bagi setiap tola,” katanya yang bekerja sebagai seorang doktor gigi di Kuala Lumpur.

“Tiba-tiba mereka beritahu tanaman kami tidak menjadi disebabkan faktor cuaca sedangkan dalam kontrak sudah tertulis bahawa situasi ini tidak akan jejaskan pembayaran.”

Kata Mahendran, dia berasa terkilan apabila menggunakan simpanan dana pendidikan anaknya sebagai modal pelaburan dan mengharapkan keuntungan daripada projek itu akan digunakan untuk masa depan anaknya.

Sementara itu, pelabur yang hanya mahu dikenali sebagai Guru, mendedahkan dia sudah melabur sehingga RM520,000 menerusi tiga transaksi antara 2013 dan 2014.

Guru juga masih tidak menerima apa-apa pulangan daripada syarikat tersebut, malah kali terakhir dia berhubung dengan APC adalah sekitar awal tahun lalu.

“Mereka hanya maklumkan bahawa tanaman saya tak menjadi dan nasihatkan saya supaya tidak bimbang kerana mereka akan melakukan tanaman semula.

“Tetapi saya sudah berusia 73 tahun, tak mungkin saya akan tunggu lagi tujuh tahun untuk menunggu tanaman itu membuahkan hasil?,” kata Guru dan menambah hasil pulangan yang dijanjikan itu sebenarnya dirancang untuk dijadikan sebagai wang peninggalan kepada isterinya.

Menurut Guru, disebabkan tiada maklum balas daripada APC, dia membuat laporan polis pada Januari lalu dan berharap pihak berkuasa akan mengambil tindakan sewajarnya.

“Tak dapat keuntungan yang dijanjikan pun tidak mengapa. Yang penting syarikat itu pulangkan semula modal pelaburan saya,” tambahnya.

Sementara itu, usaha MalaysiaNow untuk mendapatkan reaksi APC tidak berjaya apabila syarikat tersebut tidak memberi maklum balas.