- Iklan -
Berita

Kita tak boleh berpecah, kata Dr Mahathir berhubung pakatan menentang BN

Pemimpin veteran itu menjangka akan berlaku pakatan politik baru antara parti yang menentang Barisan Nasional.

Nur Hasliza Mohd Salleh
2 minit bacaan
Kongsi
Bekas perdana menteri, Dr Mahathir Mohamad.
Bekas perdana menteri, Dr Mahathir Mohamad.

Dr Mahathir Mohamad menjangkakan akan berlakunya pakatan politik bersama parti-parti penentang Barisan Nasional (BN) menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Pengerusi Pejuang itu berkata sudah terdapat suara-suara dari blok pembangkang untuk membentuk pakatan ekoran kesedaran bahawa perpecahan hanya menyebabkan parti yang terlibat jenayah rasuah mampu memenangi pilihan raya negeri (PRN).

“Kita tak boleh berpecah sebab jelas sekali berpecah sebabkan kita kalah dan sebabkan kita dapat kurang sokongan.

“Sebab BN hanya mendapat sokongan 53% dalam pilihan raya negeri. Walaupun dengan 53% itu, mereka menguasai dua pertiga dan berhak pinda perlembagaan (negeri) pun,” katanya merujuk kepada kemenangan BN dalam PRN dua kali berturut-turut di Melaka dan Johor.

Kata Mahathir, meskipun kerajaan yang dibentuk dipilih oleh minoriti, tetapi BN menjadi kerajaan majoriti dua pertiga yang berkuasa penuh.

Pada PRN Johor, 12 Mac lalu seramai 1,426,573 daripada lebih 2.5 juta rakyat atau 54.92% rakyat keluar mengundi.

Jumlah itu meliputi bilanagn pengundi biasa, pengundi awal dan pengundi pos.

Pada PRU14, Pakatan Harapan (PH) yang dipimpin Mahathir berjaya menawan Johor dengan kemenangan di 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

Manakala BN memenangi 19 kerusi dan PAS satu kerusi.

Kerajaan PH di Johor tumbang selepas Bersatu keluar daripada gabungan itu di peringkat pusat pada Februari 2020.

Ketika ditanya adakah Pejuang akan mencari “rakan-rakan” baru untuk gabungan tersebut, Mahathir memberitahu beberapa nama sudah dicadangkan oleh pimpinan parti untuk diteliti sebelum membuat keputusan.

Ini kerana, katanya, kerjasama dengan “rakan-rakan” parti terdahulu sudah pun meninggalkan kesan lama.

Dalam pada itu, Mahathir turut mengulas desakan segelintir pihak yang menggesa PRU15 diadakan dalam kadar yang segera dengan mengatakan pilihan raya dalam keadaan yang tidak bersedia hanya memberikan kebahagian kepada sesetengah pihak sahaja.

Bahkan, kata Mahathir, keputusan daripada pilihan raya yang tergesa-gesa tidak baik untuk pentadbiran negara.

“Jadi masa perlu diberi supaya negara dan rakyat khususnya, mempunyai masa untuk mereka menimbang baik-baik tentang apa yang mereka (parti bertanding) lakukan.”

Ketika ini, pimpinan utama Umno sedang meneruskan tekanan terhadap Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob untuk membubarkan Parlimen untuk memberi laluan PRU15 dalam kadar segera.

Ucapan Presiden Ahmad Zahid Hamidi dan Timbalannya Mohamad Hasan di Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2021 yang sedang berlangsung di Kuala Lumpur dilihat senada mendesak Parlimen dibubarkan segera selepas siri kejayaan BN dalam PRN di Melaka dan Johor.