- Iklan -
Berita

Kerajaan fail permohonan batal ‘final award’ berhubung tuntutan waris sultan Sulu

Ismail Sabri Yaakob berkata tindakan undang-undang itu dibuat bagi memastikan keputusan Mahkamah Arbitrari Paris tidak dikuatkuasakan selain memastikan negara tidak perlu membayar pampasan berbilion ringgit.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob pada Perhimpunan Agung Umno 2021 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur..
Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob pada Perhimpunan Agung Umno 2021 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur..

Kerajaan telah memfailkan permohonan untuk membatalkan ‘final award’ berhubung isu tuntutan pihak mengaku sebagai waris sultan Sulu pada 3 Mac lepas di Mahkamah Arbitari Paris, Perancis bagi memastikan kedaulatan dan kepentingan Malaysia terpelihara.

Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob berkata tindakan itu dibuat bagi memastikan keputusan tersebut tidak boleh dikuatkuasakan selain memastikan Malaysia tidak perlu membayar wang pampasan sebanyak AS$14.9 bilion (RM62.59 bilion) seperti yang dituntut.

Beliau turut menegaskan bahawa tuntutan oleh pihak yang mengaku sebagai waris kepada sultan Sulu terhadap kerajaan Malaysia melalui prosiding timbang tara antarabangsa itu adalah tidak sah dan melanggari undang-undang.

“Ini kerana pelantikan penimbang tara Dr Gonzalo Stampa telah dibatalkan oleh Mahkamah Tinggi Madrid pada 29 Jun 2021 yang mengakibatkan semua keputusan dikeluarkan beliau tidak sah, termasuk ‘final award’ yang dikeluarkan pada 28 Februari 2022,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Perdana Menteri berkata Dr Stampa bagaimanapun tidak mengendahkan keputusan Mahkamah Tinggi Madrid dengan memindahkan tempat timbang tara ke Paris dan telah meneruskan prosiding timbang tara sehinggalah beliau mengeluarkan final award tersebut.

Ismail berkata kerajaan tegas dengan pendirian bahawa Sabah telah diiktiraf oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan masyarakat antarabangsa sebagai sebahagian daripada Persekutuan Malaysia sejak 16 September 1963 dan tidak akan melayan sebarang tuntutan daripada mana-mana pihak berkenaan negeri Sabah.

“Dalam hal ini, kerajaan Malaysia tetap komited untuk menyelesaikan isu ini secara tuntas dan muktamad.

“Adalah ditekankan bahawa Kerajaan Malaysia tidak akan berganjak walau seinci pun dalam menjaga dan mempertahankan kedaulatan negara dan kedudukan Sabah dalam Malaysia akan dipertahankan untuk selama-lamanya,” katanya.