Wednesday, May 18, 2022

Adakah PKR masih relevan kepada PH?

Persoalan itu timbul selepas PKR gagal pada pilihan raya negeri Johor baru-baru ini selain keraguan mengenai kepimpinan presidennya, Anwar Ibrahim.

Other News

Prestasi PKR yang tidak memuaskan sepanjang empat pilihan raya negeri (PRN) pasca Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) bakal memaksa parti-parti komponen dalam Pakatan Harapan (PH) mencari rakan baru bagi menggantikan parti tersebut, kata penganalisis.

PKR hanya memenangi dua kerusi di Sabah dan satu kerusi Johor.

Manakala parti pimpinan Anwar Ibrahim itu tidak mendapat sebarang kerusi di Sarawak dan Melaka.

Ia menimbulkan persoalan mengenai kerelevanan parti itu dalam PH meskipun berjaya mencipta sejarah menjadi sebahagian daripada kerajaan pusat pada 2018 bersama-sama DAP, Amanah dan Bersatu.

Antara faktor yang disebut-sebut menjadi penghalang kepada PKR ialah kerana kegagalan parti itu mendapatkan undi Melayu daripada Barisan Nasional (BN).

Penganalisis politik Mazlan Ali daripada UTM berkata, PKR harus sedar ia tidak mempunyai penyokong tegar seperti Umno.

Katanya, PKR yang merupakan parti yang berasaskan bandar itu hanya mampu mendapat satu segmen pengundi sahaja iaitu penduduk bandar.

Segmen itu katanya sama dengan yang direbut oleh DAP dan Amanah.

“PKR bergantung kepada undi Cina yang membentuk 90% kumpulan participant itu. Di Melaka, apabila peratusan orang Cina turun undi kurang, PKR kalah teruk,” katanya kepada MalaysiaNow.

Justeru, katanya PKR tidak boleh bercakap besar kerana parti tersebut tidak mampu bergerak solo dalam mana-mana pilihan raya.

Sebelum ini, beberapa pimpinan PKR mahu parti mereka bergerak solo apabila kepimpinan Anwar dipertikaikan rakan komponen mereka.

Sebaliknya, DAP dan Amanah mempunyai peluang untuk membentuk pakatan baru tanpa penyertaan PKR.

Calon terdekat yang dilihat mampu menggantikan PKR ialah Muda yang memenangi satu kerusi pada PRN Johor.

“Ada kebarangkalian, sebab Muda ialah parti berasaskan bandar. Sama sahaja coraknya. PKR pun tidak berapa suka dengan Muda kerana Muda ialah saingannya,” katanya.

Pemerhati politik Mak Khuin Weng berkata, PKR mempunyai “niche” dengan segmen pengundi Cina pro-pembangkang yang tidak gemar kepada DAP.

“Namun untuk jangka masa pendek, mereka perlu perjelaskan semula siapa ketua pembangkang sebenar sebagai satu strategi jika mereka perlu berpecah bagi perkasakan akar umbi masing-masing,” kata bekas wartawan itu kepada MalaysiaNow.

Ini kerana Anwar yang diamanahkan jawatan itu gagal mempamerkan kemahiran kepimpinan yang baik untuk mengekalkan kesatuan pembangkang.

Namun katanya, PH berisiko kehilangan Selangor sekiranya mereka berpecah.

Mazlan berkata, ekoran kelemahan itu, PKR tidak boleh bersikap seperti “abang besar” dalam PH sepertimana Umno dalam Barisan Nasional (BN).

“Mereka menang PRU lepas kerana membawa isu rakyat seperti rasuah, integriti dan 1MDB. Tetapi pada pandangan saya Anwar sudah ‘kehabisan gas’,” katanya.

Mak pula berpendapat dalam PH, DAP dan PKR menjadi liabiliti kepada satu sama lain.

“Politik ialah soal mencari titik sesuai yang mana mereka boleh melakukan kerja walaupun ada perbezaan.

“Menukar PKR dengan Muda dan Warisan tiada beza dengan DAP dan PAS yang beberapa kali bersama dan bercerai sepanjang sejarah politik kita,” katanya.

Mak yang pernah bertanding sebagai calon bebas pada PRU13 berkata, Muda dan Warisan masih belum teruji dalam isu-isu sensitif membabitkan orang Melayu dan Islam.

“Di mana pendirian mereka akan menentukan sama ada mereka diterima atau tidak.

“Sukar meramalkan masa depan parti-parti ini sehingga mereka memberikan pandangan terhadap isu-isu tersebut,” katanya.

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles