- Iklan -
Berita

PM sekali lagi tolak gesaan pemimpin pro-Najib untuk adakan PRU15 lebih awal

Ismail berkata pelaksanaan PRU berada di bawah kuasa Yang di-Pertuan Agong.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob melambai tangan kepada perwakilan Perhimpunan Agung Umno 2021 di Kuala Lumpur.
Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob melambai tangan kepada perwakilan Perhimpunan Agung Umno 2021 di Kuala Lumpur.

Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob hari ini sekali lagi menepis gesaan sekumpulan pemimpin partinya untuk membubarkan Parlimen bagi memberi laluan Pilihan Raya Umum ke-15 (RU15) diadakan.

Ismail yang juga naib presiden Umno berkata, perkara itu tertakluk di bawah kuasa Yang di-Pertuan Agong.

“Kita kena tunggu dulu. Perkara ini perlu dibincangkan dengan Yang di-Pertuan Agong. Kalau kita tetapkan tarikh sendiri. Nanti Agong kata kita ambil alih kuasanya.

“Jadi jangan kita ambil alih kuasa Agong,” katanya kepada pemberita hari ini di Pusat Dagangan Dunia (WTC) di Kuala Lumpur di mana Perhimpunan Agung Umno sedang berlangsung.

Ismail, yang menjadi perdana menteri dengan sokongan Perikatan Nasional (PN) dan GPS selepas Muhyiddin Yassin meletakkan jawatan tahun lalu menerima tekanan daripada beberapa pemimpin Umno yang bersekutu dengan bekas perdana menteri Najib Razak untuk mengadakan PRU15 tahun ini.

PRU15 perlu diadakan menjelang Mei 2023, bagaimanapun pemerhati politik mengatakan Najib dan presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi mahu ia diadakan lebih awal kerana berdepan dengan puluhan kes jenayah di mahkamah.

Gesaan tersebut mendapat momentum selepas kemenangan Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya negeri (PRN) di Johor baru-baru ini, di mana penganalisis berkata peratusan keluar mengundi yang tinggi dalam kalangan pengundi setianya di negeri itu memastikan BN menang besar sedangkan hanya lebih separuh bilangan pengundi yang layak keluar membuang undi mereka.

Bagaimanapun, Ismail menepis gesaan tersebut, mengatakan Parlimen perlu dibubarkan melalui prosedur yang betul.

Malam tadi, Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan mengulangi gesaan supaya PRU15 diadakan.

Beliau berkata Umno mesti “serang (pembangkang) ketika musuh sedang lemah”, merujuk situasi pembangkang yang dilihat berpecah-belah.

“Jangan tunggu dia dah regroup balik, dia dah cium mulut macam PRU14, Mahathir dan Anwar cium mulut baru dia nak buat,” kata Mohamad lagi merujuk kerjasama antara bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad dan Pengerusi Pakatan Harapan Anwar Ibrahim bagi menjatuhkan pentadbiran Najib pada 2018.