- Iklan -
Berita

34.1% kanak-kanak divaksinasi, 65.4% dewasa terima dos penggalak

Sementara itu, 91.3% populasi remaja telah melengkapkan vaksinasi mereka.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Seorang ibu mengambil gambar anaknya yang selesai menerima vaksin di bawah PICKids di PPV Taman Bukit Mewah, Kajang.
Seorang ibu mengambil gambar anaknya yang selesai menerima vaksin di bawah PICKids di PPV Taman Bukit Mewah, Kajang.

Seramai 1,209,694 atau 34.1% kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun di negara ini telah menerima dos pertama vaksin menerusi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Kanak-Kanak (PICKids).

Berdasarkan laman web CovidNow, bagi populasi remaja berusia 12 hingga 17 tahun pula, seramai 2,840,296 individu atau 91.3% telah melengkapkan vaksinasi Covid-19, manakala 2,939,622 individu atau 94.5% daripada kumpulan itu sudah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin, setakat semalam.

Bagi populasi dewasa, seramai 15,393,296 individu atau 65.4% telah menerima dos penggalak Covid-19, seramai 22,939,552 individu atau 97.5% daripada populasi sama telah melengkapkan vaksinasi mereka manakala 23,215,558 individu atau 98.7% menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.

Vaksinasi harian semalam menyaksikan sebanyak 47,773 dos vaksin diberikan meliputi 12,788 dos pertama, 1,927 dos kedua dan 33,058 dos penggalak, menjadikan jumlah kumulatif dos vaksin yang diberikan di bawah Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) sebanyak 68,328,203.

Sementara itu, menurut portal GitHub KKM, 105 kes kematian akibat Covid-19 direkodkan semalam dengan Perak merekodkan angka tertinggi sebanyak 21 kes, diikuti Kedah (17), Johor (13), Selangor (12) dan tujuh kes masing-masing di Pahang dan Kuala Lumpur.

Sabah dan Melaka masing-masing merekodkan lima kes, Pulau Pinang (empat), masing-masing tiga kes di Negeri Sembilan, Sarawak dan Terengganu, manakala Kelantan dan Perlis masing-masing merekodkan dua kes serta Putrajaya (satu).