- Iklan -
Berita

SPR tidak cadang perluas undi pos kepada pengundi Sabah, Sarawak di semenanjung

SPR menggalakkan pengundi untuk memohon pertukaran bahagian pilihan raya berdasarkan tempat pemastautin terkini bagi memudahkan urusan pengundian.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Pengundi mencelup dakwat di jari selepas membuang undi pada Pilihan Raya Negeri Johor baru-baru ini.
Pengundi mencelup dakwat di jari selepas membuang undi pada Pilihan Raya Negeri Johor baru-baru ini.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) buat masa ini tidak bercadang untuk memperluas kategori undi pos kepada pengundi Sabah dan Sarawak yang tinggal di Semenanjung pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), persidangan Dewan Rakyat diberitahu hari ini.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) Mas Ermieyati Samsudin berkata sebaliknya, SPR menggalakkan pengundi untuk memohon pertukaran bahagian pilihan raya berdasarkan tempat pemastautin terkini bagi memudahkan urusan pengundian bagi satu pilihan raya.

“Perkara 119 Perlembagaan Persekutuan menetapkan satu daripada kelayakan untuk didaftarkan sebagai pemilih ialah dengan bermastautin di mana-mana bahagian pilihan raya.

“Bagi maksud tersebut, SPR menentukan bahagian pilihan raya seseorang pemilih berdasarkan kepada alamat pemastautin pemilih sebagaimana yang ada di kad pengenalan dan pangkalan data Jabatan Pendaftaran Negara (JPN),” katanya dalam sesi soal jawab di Dewan Rakyat.

Beliau menjawab soalan Rozman Isli (Warisan-Labuan) yang ingin tahu sama ada SPR sedang mempertimbang untuk membenarkan pengundian pos bagi mereka yang tinggal jauh dari pusat pengundian berdaftar khususnya bagi rakyat Sabah, Sarawak dan Labuan dalam merangka prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 yang lebih berkesan pada PRU15.

Ermieyati berkata kemudahan mengundi secara pos hanya diberikan kepada ahli dan kakitangan SPR; petugas pilihan raya; tentera, polis dan Pasukan Gerakan Am yang bertugas pada hari mengundi awal; pengamal media yang bertugas membuat liputan pilihan raya di luar kawasan pada hari mengundi dan pengundi yang berada di luar negara.

Katanya kemudahan itu turut diberikan kepada kakitangan sembilan agensi antaranya Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Jabatan Penjara, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, sukarelawan dan jabatan imigresen yang bertugas pada hari mengundi serta pengundi tidak hadir luar negara iaitu penjawat awam yang berkhidmat di luar negara serta pasangan dan pelajar universiti sepenuh masa di luar negara serta pasangan.

Menjawab soalan tambahan Rubiah Wang (GPS-Kota Samarahan) yang bertanyakan sama ada kerajaan bercadang meminda kaedah undi pos itu kepada undi awal bagi penduduk Sabah dan Sarawak yang tinggal di semenanjung, Mas Ermieyati berkata tidak ada keperluan untuk perkara itu.

“Perkara ini bukan sahaja tertakluk kepada pengundi Sabah dan Sarawak tetapi juga pengundi (semenanjung yang tinggal di luar kawasan pilihan raya), contohnya pengundi Kelantan yang tinggal di Johor.

“Jadi buat masa sekarang, belum ada keperluan lagi untuk kita mengadakan pengundian secara awal itu tetapi apa juga cadangan akan kita beri perhatian,” katanya.