- Iklan -
Berita

PRU15 perlu diadakan sekarang, kata timbalan presiden Umno

Menurut Mohamad Hasan, sekarang adalah waktu yang tepat untuk Parlimen dibubarkan.

Nur Hasliza Mohd Salleh
1 minit bacaan
Kongsi
Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan ketika berucap pada Perhimpunan Agung Umno 2021.
Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan ketika berucap pada Perhimpunan Agung Umno 2021.

Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan menetapkan garis perbincangan perhimpunan agung malam ini dengan mendesak Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) diadakan tahun ini, mengatakan sekarang adalah masa paling tepat ketika musuh dalam keadaan paling lemah.

“Serang sewaktu musuh sedang lemah, tempa ketika besi masih panas. Jangan tunggu dia dah regroup balik, dia dah cium mulut macam PRU14, Mahathir dan Anwar cium mulut baru dia nak buat.

“Menempah maut. Now is the right time for us to strike,” kata Mohamad merujuk kerjasama Dr Mahathir Mohamad bersama bekas musuhnya Anwar Ibrahim di mana Bersatu turut bergabung bersama Pakatan Harapan bagi menamatkan enam dekad pentadbiran Barisan Nasional (BN).

Mohamad berkata melengahkan pilihan raya “akan membuka potensi kebangkitan pembangkang”.

Beliau berkata gabungan pembangkang ketika ini sedang berada dalam keadaan tidak bersatu padu seperti apa yang dapat dilihat ketika Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor baru-baru ini.

“PRN di Melaka, Sarawak dan Johor memberi beberapa petunjuk yang penting, bahawa masanya sekarang.

“Ketidaksepaduan pembangkang adalah strategik kepada Umno. Inilah masanya kita pintas saat mereka berpecah dan bertelagah.”

“Pihak lawan ternyata sangat lemah sekarang,” kata.

Gesaan Tok Mat itu mencerminkan pendirian bekas perdana menteri Najib Razak dan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi, di mana kedua-dua mereka dipercayai memberikan tekanan terhadap Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob supaya Parlimen dibubarkan.

Zahid yang berdepan 47 pertuduhan jenayah di mahkamah sebelum ini berkata PRU15 perlu diadakan sebelum atau pada Julai tahun ini.

Pemerhati politik percaya beliau sedang mengukuhkan kedudukannya sebelum pemilihan parti itu pada November.

Sekiranya PRU15 dan pemilihan Umno diadakan ketika perbicaraan sedang berjalan, Zahid mungkin tidak dapat mempertahankan jawatannya dalam parti.