- Iklan -
Berita

Penganalisis ramal kerjasama PN-PH lawan BN, Najib kembali berkuasa

Walaupun langkah ini akan menguntungkan pembangkang dalam usaha menyaingi BN, namun masih ada halangannya.

Nur Hasliza Mohd Salleh
3 minit bacaan
Kongsi
Perang bendera di Bukit Rambai antara Perikatan Nasional, Barisan Nasional dan Pakatan Harapan pada PRN Melaka tahun lalu.
Perang bendera di Bukit Rambai antara Perikatan Nasional, Barisan Nasional dan Pakatan Harapan pada PRN Melaka tahun lalu.

Kerjasama antara Perikatan Nasional (PN) dan Pakatan Harapan (PH) untuk berdepan dengan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) bukanlah sesuatu yang mustahil kata penganalisis selepas kekalahan berturut dua gabungan itu dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Johor.

Penganalisis politik Melayu, Kamarul Zaman Yusoff dari Universiti Utara Malaysia (UUM) berkata, Barisan Nasional (BN) akan kalah dalam PRN Johor sekiranya undi yang diterima PN dan PH digabungkan.

Katanya, BN berkemungkinan hanya akan memperoleh 21 Dewan Undangan Negeri (DUN) di kubu kuat mereka di mana calon-calon BN akan menang meskipun undi PN digabungkan dengan PH dan Muda.

Daripada 21 kerusi DUN tersebut, 16 kerusi oleh Umno, empat MCA dan satu MIC.

Kamarul menambah, beliau juga mendapati jika undi PN dan PH digabungkan pada PRN Johor, seramai 19 calon BN akan kalah.

“Kemungkinan kerjasama PN dan PH memang boleh berlaku,” katanya kepada MalaysiaNow.

Pada PRN Johor, Sabtu lalu BN hanya berjaya menerima 599,753 undi atau 43.11% dari 1,426,573.

Ini bermakna kira-kira 826,820 atau 56.89% tidak mengundi BN manakala 1.17 juta pengundi lagi tidak keluar mengundi.

PN menang tiga kerusi dengan 334,457 undi atau 24.04% manakala PH memenangi 11 kerusi dengan 284,969 (20.48%) undi popular.

Sekiranya kedua-dua blok itu bergabung, mereka bakal menerima 45.52% undi, melebihi apa yang diterima oleh BN.

Bagaimanapun, kata Kamarul, angka-angka tersebut tidak boleh digunakan untuk memperkecilkan kemenangan BN kerana gabungan itu mencapai kemenangan melalui sistem pilihan raya yang sah.

“Mengikut sistem first-past-the-post (FPTP) parti politik tidak perlu menang mutlak untuk muncul pemenang tetapi memadai bila ia hanya mengatasi undi parti-parti lain.

“Pihak yang tidak berpuas hati dengan kemenangan BN, khususnya PH, perlu menyalahkan diri mereka sendiri yang tidak mengubah sistem ini waktu mereka berkuasa,” katanya.

Dilema kerjasama baru

Dalam pada itu, Azizuddin Sani juga dari UUM berkata melihat kepada realiti yang berlaku pasca PRN Johor menunjukkan terdapat keperluan untuk PN membentuk satu gabungan baru.

“Tapi bergabung macam mana, tak pasti. Terpulang kepada pimpinan, pasti jika ada baiknya untuk bergabung dengan Pejuang, kalau boleh pertimbangkan PH ke, Warisan sekali ke, terpulanglah.

“Ataupun kalau PN nak bergabung dengan BN pun boleh. Jadi mana yang dia (parti) rasakan bawa kebaikan kepada PN mungkin boleh fikirkan mana yang terbaik,” katanya kepada MalaysiaNow.

Ketika ditanya sama ada PAS yang menjadi parti komponen dalam PN patut mempertimbangkan gabungan dengan BN semula dalam Muafakat Nasional (MN), Azizuddin berkata terdapat beberapa dilema yang menyukarkan perkara itu berlaku.

Katanya, parti Islam itu sentiasa mahu bergabung dengan BN akan tetapi kehadiran Bersatu dalam PN menyukarkan keadaan itu.

“Jadi itu dilema dia. PAS sekarang ini terpaksa kena buat pilihan (bersama) dengan PN (kerana) merasakan itu peluang mereka lebih baik.”

Azizuddin berkata, agak sugar bagi PAS untuk meninggalkan PN dan kembali kepada BN kerana keputusan itu akan menyukarkan Bersatu.

Ini membawa maksud, PN akan berpecah dan tinggal hanya dua parti komponen iaitu Bersatu dan Gerakan.

“Saya tidak rasa PAS akan keluar PN, cuma mungkin ada rasa bergabung dengan BN lebih baik daripada duduk bersama PN.

“Jadi tengok bukti (PRN) Melaka dan Johor nampak BN lebih menonjol. Tapi, nak kata PN tak ada kekuatan sebenarnya ada, kalau tengok di Johor, banyak sokongan juga dan dapat pecah undi Melayu pergi ke PN.

“Cuma masih lagi tak cukup nak menang, cuma dapat tiga kerusi sahaja,” katanya.

Selain itu, pimpinan PN dan PH mempunyai “sejarah lampau” antara satu sama lain yang menyukarkan kerjasama dibentuk meskipun naratif perjuangan parti dilihat seiring dan sama.

Terutama sekali dalam melawan kluster mahkamah dari Umno dan BN.

Pengerusi PN Muhyiddin Yassin dan Pengerusi Pejuang Dr Mahathir Mohamad tidak sehaluan selepas Langkah Sheraton yang menyaksikan bekas perdana menteri itu digugurkan keahlian dari Bersatu.

Mahathir kemudian menubuhkan Pejuang yang bertanding buat pertama kali pada PRN Johor, Sabtu lalu.

Manakala, bekas timbalan presiden PKR Azmin Ali menyertai Bersatu pimpinan Muhyiddin.

Tindakannya itu dikatakan menyumbang kepada kejatuhan kerajaan PH selepas krisis dalaman antara dirinya dan Presiden PKR Anwar Ibrahim ketika pemilihan parti itu.

Ini menimbulkan persepsi sebarang bentuk gabungan di blok pembangkang sukar dilakukan akibat ego pemimpin masing-masing.

Namun, kata Azizuddin, keegoan hanyalah salah satu punca selain apakah kompromi yang boleh PN ditawarkan kepada BN, PH dan pihak-pihak lain.

“Semuanya ada kepentingan dan permintaan tertentu jadi yang mana tak dapat penuhi tu tak boleh bergabung. Umno mungkin minta Bersatu bubar, kalau nak sertai mereka. Umno pula rasa mereka dah besar sebab dah menang di dua negeri.

“Jadi, maksudnya permintaan-permintaan itu akan banyak beri kelebihan kepada BN berbanding PN. Inilah dilema-dilema yang perlu difikirkan untuk hasilkan keputusan yang terbaik untuk mereka.”