- Iklan -
Berita

Nyatakan suara akar umbi di Perhimpunan Agung Umno, kata Ismail

Naib Presiden Umno Ismail Sabri turut mengucapkan selamat bersidang kepada semua perwakilan dari seluruh negara.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Naib Presiden Umno Ismail Sabri pada malam kemenangan Barisan Nasional pada PRN Johor Sabtu lalu.
Naib Presiden Umno Ismail Sabri pada malam kemenangan Barisan Nasional pada PRN Johor Sabtu lalu.

Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob mengajak perwakilan yang akan menyertai Perhimpunan Agung Umno 2021 bermula esok hingga Sabtu ini, menjadikan persidangan itu sebagai pentas untuk menyampaikan suara akar umbi yang menjadi tunjang kekuatan parti.

Ismail yang juga naib presiden Umno dalam hantaran di Facebook turut mengucapkan selamat bersidang kepada semua perwakilan dari seluruh negara.

“Semoga Allah SWT merahmati setiap bibit perjuangan parti keramat Umno dan mengangkat darjat kebesaran maruah bangsa dan negara. Umno, sebuah perjuangan demi agama, bangsa dan tanah air,” katanya yang juga ketua bahagian Umno Bera.

Perhimpunan itu yang akan berlangsung secara bersemuka, dijangka dihadiri seramai 5,571 perwakilan daripada 191 bahagian di seluruh negara.

Pada Disember lepas, Umno membuat keputusan untuk menangguhkan Perhimpunan Agung Umno 2021 yang sepatutnya berlangsung dari 13 hingga 15 Januari lepas.

Penangguhan itu adalah susulan bencana banjir yang berlaku di banyak kawasan dan pimpinan Umno akar umbi diminta membantu mangsa-mangsa banjir.