- Iklan -
Berita

Malaysia sertai prosiding undang-undang mengenai MH17

Kementerian pengangkutan berkata Malaysia komited dengan proses kehakiman di bawah undang-undang antarabangsa terhadap pihak bertanggungjawab dalam tragedi MH17 pada 2014.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Gambar fail bangkai pesawat MH17 diambil pada 26 Mei tahun lalu di Gilze-Rijen Airbase, Belanda. Gambar: AFP
Gambar fail bangkai pesawat MH17 diambil pada 26 Mei tahun lalu di Gilze-Rijen Airbase, Belanda. Gambar: AFP

Malaysia akan mengambil bahagian dalam prosiding melalui Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) selaras dengan Konvensyen Chicago susulan tindakan undang-undang bersama yang dimulakan oleh kerajaan Australia dan Belanda berikutan nahas pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH17 yang ditembak jatuh.

Menurut kementerian pengangkutan (MOT) dalam kenyataan hari ini, kerajaan Malaysia mengulangi komitmennya terhadap proses kehakiman yang dijalankan secara telus di bawah undang-undang antarabangsa terhadap pihak yang bertanggungjawab dalam tragedi MH17 pada 2014.

“Kerajaan Malaysia komited untuk menuntut keadilan bagi keluarga mangsa nahas termasuk 43 rakyat Malaysia yang menaiki pesawat itu,” menurut kenyataan tersebut.

Pesawat MH17 dalam penerbangan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur pada 17 Julai 2014 apabila ia ditembak jatuh di utara Ukraine, mengorbankan 298 orang di dalam pesawat berkenaan.

Dilaporkan Australia dan Belanda telah memulakan tindakan undang-undang bersama terhadap Rusia melalui ICAO berikutan tragedi MH17 yang ditembak jatuh.

Tindakan undang-undang oleh kedua-dua negara tersebut difailkan menerusi ICAO di bawah Artikel 84 Konvensyen Penerbangan Awam Antarabangsa.

Justeru, Malaysia menggesa semua negara dan pihak yang terlibat memberi kerjasama sepenuhnya terhadap perbicaraan itu selaras dengan Resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa Bersatu (UNSC) 2166 (2014).

“Proses undang-undang yang menyeluruh mesti diteruskan dalam usaha mengheret pelaku jenayah tidak berperikemanusiaan ini ke muka pengadilan demi membela mangsa nahas MH17 dan keluarga mereka,” menurut kenyataan itu.

Menurut MOT, Malaysia komited untuk memastikan proses perundangan berjalan dengan telus, boleh dipercayai dan konklusif.

“Pendekatan Malaysia kekal bahawa segala kesimpulan mestilah dibuat berdasarkan bukti kukuh,” menurut kenyataan itu.