Sunday, May 15, 2022

Lebih 8,000 mangsa banjir Selangor belum terima bantuan

MB Selangor berkata semua pembayaran dijangka selesai pada 31 Mac sementara pembayaran tertunggak akan diproses sehingga 30 April.

Other News

Sebanyak 8,395 penerima masih belum menerima Bantuan Selangor Bangkit (BSB) yang diperuntukkan kerajaan negeri untuk mangsa bah besar yang melanda negeri itu pada akhir tahun lepas, kata Menteri Besar Amirudin Shari.

Beliau berkata Klang merupakan daerah penerima tertinggi yang belum menerima bantua iaitu seramai 7,236 orang; diikuti Kuala Langat (530), Petaling (348), Sepang (223), Kuala Selangor (56) dan Gombak (dua) manakala tiga daerah iaitu Hulu Langat, Sabak Bernam dan Hulu Selangor telah selesai sepenuhnya.

“Sehingga 14 Mac, kerajaan negeri telah melulus dan melaksanakan pembayaran BSB kepada 118,110 keluarga melibatkan peruntukan RM118.11 juta. Dari 25 kematian, yang layak menerima bantuan BSB bagi keluarga arwah dan mendiang adalah seramai 14 orang,” katanya pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor hari ini.

Menurutnya sebanyak RM132.628 juta bantuan BSB telah disalurkan kepada semua pejabat tanah dan daerah dengan baki peruntukan setakat ini adalah RM14.378 juta.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan yang dibangkitkan Azmizam Zaman Huri (PH-Pelabuhan Klang) yang bertanya adakah BSB telah selesai dibayar kepada semua mangsa banjir.

Pada masa yang sama katanya, sebanyak 2,942 permohonan telah ditolak kerana tidak memenuhi kriteria dengan terdapat sebahagian permohonan tersebut didapati bertindih manakala 300 permohonan masih lagi dalam proses semakan.

Amirudin berkata semua pembayaran dijangka selesai pada 31 Mac manakala bagi pembayaran tertunggak termasuk permohonan rayuan akan diproses sehingga 30 April nanti.

“Sekarang kami tidak lagi menganjurkan pemberian di dewan-dewan, jadi baki penerima seterusnya akan dihubungi terus dan kami menawarkan penghantaran wang melalui akaun dan pemindahan dana elektronik (EFT),” katanya.

Mengenai soalan Azmizam berkenaan apakah tindakan yang akan diambil terhadap individu yang membuat tuntutan palsu BSB, Amirudin berkata tindakan akan diambil selepas semua pembayaran BSB selesai 31 Mac ini.

Beliau turut menjelaskan punca kelewatan pembayaran bantuan adalah kerana pihaknya menerima jumlah permohonan yang tinggi iaitu lebih 10 kali ganda daripada bilangan ketua isi rumah yang tinggal di pusat pemindahan sementara (PPS).

“Selain itu ada permohonan bertindih dan perlu dilakukan verifikasi dan kami kena mengatur dan menyelaras kewangan kerana kerajaan negeri akan menyalur BSB bersama dengan bantuan wang ihsan daripada kerajaan persekutuan,” katanya.

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles