- Iklan -
Berita

Perwakilan Johor dijangka tidak sertai perbahasan Perhimpunan Agung Umno esok

Keputusan itu timbul selepas Pengerusi Umno Johor Hasni Mohammad tidak dilantik sebagai menteri besar.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Penyokong Barisan Nasional di ibu pejabat Umno Johor pada malam kemenangan gabungan itu pada PRN Johor 12 Mac lalu.
Penyokong Barisan Nasional di ibu pejabat Umno Johor pada malam kemenangan gabungan itu pada PRN Johor 12 Mac lalu.

Perwakilan Johor dijangka tidak akan mengambil bahagian dalam sebarang perbahasan pada Perhimpunan Agung Umno yang bermula esok di Kuala Lumpur, susulan pelantikan menteri besar Johor yang baru.

Difahamkan dalam pertemuan bersama pemimpin-pemimpin Umno Johor termasuk ketua-ketua bahagian di kediaman rasmi menteri besar di Saujana malam tadi, Pengerusi Umno Johor Hasni Mohammad telah meminta agar ahli Umno tidak memanjangkan isu berkenaan.

“Sebaliknya, beliau (Hasni) berjiwa besar. Beliau juga tidak mahu perkara ini dibesar-besarkan,” kata sumber kepada Bernama ketika dihubungi hari ini.

Menurut sumber itu lagi, Hasni juga mahu menghalang usaha segelintir perwakilan Umno Johor yang mahu menolak pelantikan Onn Hafiz Ghazi sebagai menteri besar Johor ke-19.

Difahamkan, perjumpaan di Saujana semalam bermula seawal pukul 9 malam dan berakhir kira-kira pukul 3 pagi, dengan mereka yang hadir menyatakan sokongan tidak berbelah bahagi kepada kepimpinan Hasni.

Onn, 43, yang juga ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Machap, mengangkat sumpah sebagai menteri besar di Istana Bukit Serene petang ini, mengambil alih jawatan itu daripada Hasni.

Sebelum ini, Hasni telah dinamakan sebagai calon tunggal menteri besar oleh Pengerusi Barisan Nasional Ahmad Zahid Hamidi, ketika kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Pada PRN Sabtu lepas, BN memperoleh mandat besar iaitu 40 dari 56 kerusi DUN Johor, sekali gus mempunyai kedudukan selesa membentuk kerajaan negeri.

Bagaimanapun, selepas tiga hari kemenangan BN dirai, tiada petunjuk jelas sama ada Hasni akan kembali menerajui kerajaan negeri, sehingga muncul khabar angin mengaitkan nama Onn Hafiz dan Ahli Majlis Tertinggi Umno Mohd Puad Zarkashi dengan jawatan itu.