- Iklan -
Berita

Penentang Umno perlu kembali berunding atau kalah PRU15, kata penganalisis

Perpecahan undi pembangkang menangkan BN di 19 dari 40 kerusi Dewan Undangan Negeri Johor minggu lalu.

Ahmad Mustakim Zulkifli
3 minit bacaan
Kongsi
Kibaran bendera parti politik yang bertanding pada PRN Johor 12 Mac lalu. Barisan Nasional menang selesa dengan memperoleh 40 kerusi Dewan Undangan Negeri.
Kibaran bendera parti politik yang bertanding pada PRN Johor 12 Mac lalu. Barisan Nasional menang selesa dengan memperoleh 40 kerusi Dewan Undangan Negeri.

Barisan Nasional (BN) tidak akan mampu memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor sekiranya gabungan itu berdepan parti pembangkang yang bersatu, kata penganalisis.

Ilham Centre yang aktif memantau pilihan raya berkata perpecahan undi pembangkang telah menyebabkan BN menang di 19 dari 40 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

Kerusi-kerusi DUN tersebut ialah Kemelah, Tenang, Bukit Pasir, Gambir, Serom, Bukit Naning, Sungai Balang, Semerah, Parit Yaani, Senggarang, Rengit, Mahkota, Tenggaroh, Tiram, Permas, Larkin, Kempas, Kota Iskandar dan Bukit Permai.

Ketua pegawai eksekutifnya, Hisommudin Bakar berkata BN hanya berjaya menerima 599,753 undi atau 43.11% dari 1,426,573.

Hal ini bermakna kira-kira 826,820 atau 56.89% tidak mengundi BN manakala 1.17 juta pengundi lagi tidak keluar mengundi.

Perikatan Nasional (PN) menang tiga kerusi dengan 334,457 undi atau 24.04% manakala Pakatan Harapan (PH) memenangi 11 kerusi dengan 284,969 (20.48%) undi popular.

Sekiranya kedua-dua blok itu bergabung, mereka bakal menerima 45.52% undi, melebihi apa yang diterima oleh BN.

Angka itu tidak termasuk parti-parti lain seperti Muda, Pejuang dan Warisan.

Perpecahan itu juga seakan sama dengan perpecahan undi Melayu pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lepas apabila berlaku tiga penjuru antara BN, PH dan PAS.

Menurut Hisommudin, perpecahan blok pembangkang pada episod PRN Johor sangat serius ekoran peratusan undi popular yang tidak memihak kepada BN.

“Pola pengundian mungkin berbeza dengan apa yang berlaku dalam dua PRN iaitu Melaka dan Johor sekiranya wujud pertandingan satu lawan satu,” katanya kepada MalaysiaNow.

“Ianya meminimakan pilihan pengundi dan memaksa untuk memilih antara dua blok sahaja untuk menjadi kerajaan.

“Atas pilihan tersebut, BN nampaknya hanya bergantung harap kepada kekuatan undi tegar yang menyokong Umno, sebaliknya pembangkang memiliki pengundi rasional yang merangkumi undi pelbagai segmen yang lebih dinamik.”

Berdasarkan keputusan pada Sabtu lepas, undi pembangkang katanya disumbangkan pelbagai segmen antara Melayu-Islam yang dibawa oleh PAS dan Bersatu, selain undi golongan muda dan bukan Melayu yang mampu mencabar penguasaan BN.

Masih relevankan sistem FPTP?

Dalam pada itu, Hisommudin berkata, undi popular sebagai kayu ukur dan sistem alternatif wajar difikirkan bagi menggantikan sistem first-past-the-post (FPTP) yang diamalkan dalam sistem pilihan raya di Malaysia.

Katanya, menerusi sistem ini, calon yang menerima undian terbanyak akan memenangi sesuatu kerusi meskipun dia menerima kurang 50% daripada keseluruhan jumlah undi.

Hal ini terjadi apabila terdapat lebih daripada dua calon bertanding untuk satu-satu kerusi.

“Dengan persempadanan semula, ia menjadi tidak seimbang kerana wakil rakyat di kawasan DUN Perling misalnya kena mengurus 101,263 berbanding kawasan DUN Benut 28,165 pengundi,” katanya.

Menurut Hisommudin, meskipun kekurangan sistem itu sudah dibincangkan secara akademik, ia memerlukan keazaman pembuat dasar untuk berani mengubahnya.

Hisommudin berkata, faktor impak perubahan sistem kepada penguasaan dominasi politik parti-parti tertentu dan faktor pertambahan kerusi mengikut kaum akan menjadi masalah yang menghalang perubahan dari sistem sedia ada.

Namun bagi Prof Shamsul Amari Baharuddin dari UKM, soal undi popular tidak relevan dalam demokrasi perwakilan (representative demokrasi) yang beroperasi melalui FPTP.

“Setiap kerusi dimenangi dengan undi majoriti biarpun satu undi par yang memenangi majoriti kerusi yang dipertandingkan, sah membentuk kerajaan.

“Sistem ini diterima dan diguna pakai bukan sahaja kepada pemenang yang memerintah, tetapi calon-calon pembangkang yang menang,” katanya kepada MalaysiaNow.

Menurutnya, undi popular relevan untuk setiap parti merancang masa depan mobilisasi penduduk untuk menawan pengundi.

Katanya, perbincangan mengenai FPTP yang timbul selepas kemenangan BN itu di gembar-gembur seakan menutup malu pihak yang kalah.

“Mengapa bilangan pengundi Pakatan Harapan di Pulau Pinang dan Selangor semasa PRU14 pada 2018 tak ditimbulkan?” katanya.

Hisommudin menegaskan, pembangkang tiada pilihan melainkan kembali ke meja rundingan.

“Ego dan prinsip menolak antara satu sama lain perlu dikendurkan untuk mencari formula dan strategi menyekat momentum kemaraan BN ke Putrajaya.”

Katanya, PH kehilangan undi Melayu dan amat bergantung kepada undi Cina, manakala PN mendapat undi Melayu namun tidak disokong pengundi bukan Islam.

“Tokoh pembangkang perlu memikirkan agenda penyatuan objektif yang sama iaitu menumpukan untuk mengalahkan BN.

“Jika semua ini gagal diatasi, maka PRU15 kita akan melihat pola pengundian yang sama seperti mana yang berlaku di Johor dan juga Melaka.”