- Iklan -
Berita

Mahkamah Rayuan putuskan gadis diabaikan ketika lahir berhak dapat kerakyatan

Panel tiga hakim turut membenarkan perintah kepada Pendaftar Kelahiran dan Kematian Malaysia untuk mengeluarkan sijil kelahiran baru dengan pendaftaran sebagai warganegara.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Istana Kehakiman di Putrajaya yang menempatkan Mahkamah Rayuan. Gambar: Bernama
Istana Kehakiman di Putrajaya yang menempatkan Mahkamah Rayuan. Gambar: Bernama

Mahkamah Rayuan memutuskan seorang gadis berusia 23 tahun yang diambil sebagai anak angkat oleh ibu bapa warganegara Malaysia telah diabaikan ketika lahir di sebuah hospital swasta dan berhak mendapat kerakyatan Malaysia.

Hakim S Nantha Balan, yang membacakan keputusan majoriti 2-1 itu berkata gadis itu berhak menjadi warga Malaysia mengikut kuat kuasa undang-undang, berdasarkan kelahirannya dalam persekutuan Malaysia, menurut Perkara 14(1)(b), Seksyen 1(a) Bahagian II Jadual Kedua Perlembagaan Persekutuan, dibaca bersama Seksyen 19B Bahagian III Jadual Kedua Perlembagaan Persekutuan.

Beliau berkata mahkamah juga memberikan perintah certiorari bagi membatalkan keputusan Ketua Pendaftar Kelahiran dan Kematian Malaysia dalam mengeluarkan dan menandatangani sijil kelahiran bagi wanita itu sebagai bukan warganegara.

Mahkamah juga membenarkan perintah mandamus yang dimohon wanita tersebut sekali gus mengarahkan responden (Ketua Pendaftar Kelahiran dan Kematian Malaysia) untuk mengeluarkan semula sijil kelahiran dan mendaftarkan wanita itu sebagai warganegara.

“Kami berpandangan fakta menunjukkan wanita itu telah diabaikan. Kami tidak menganggap fakta bahawa pembayaran telah dibuat kepada perantara yang tidak diketahui mengurangkan fakta berlaku pengabaian bayi oleh ibu bapa kandungnya.

“Oleh itu, memandangkan istilah ‘terdedah’ dalam makna dan tafsiran yang seluas-luasnya, kami mendapati wanita itu telah ditinggalkan (oleh ibu bapa kandungnya) dan oleh itu, dia layak mendapat kerakyatan.

“Berdasarkan keadaan ini, kami secara majoriti, mendapati wujud merit dalam rayuan tersebut. Rayuan dibenarkan dan keputusan Mahkamah Tinggi diketepikan,” katanya ketika menyampaikan keputusan yang dipersetujui Kamaludin Md Said yang mengetuai panel tiga hakim itu.

Nantha juga berkata Mahkamah Rayuan tertakluk dengan keputusan Mahkamah Persekutuan pada November 2021 dalam kes yang sama membabitkan seorang kanak-kanak yang diabaikan ketika lahir di sebuah hospital di Kuala Lumpur, dan kemudiannya turut diambil sebagai anak angkat oleh ibu bapa warga Malaysia.

Selain wanita itu, dua lagi perayu adalah ibu bapa angkatnya berusia 70 dan 69 tahun.