- Iklan -
Berita

Laporan audit dapati majlis sukan Selangor buat bayaran tidak wajar RM1.95 juta

Pembayaran tidak wajar itu yang dibuat kepada penerima tidak sah di mana RM500,000 dibayar pada 2020 dan RM1.4 juta dibayar pada 2019.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Sultan Sharafuddin Idris Shah berucap pada sidang Dewan Undangan Negeri di Shah Alam pada 14 Mac. Gambar: Bernama
Sultan Sharafuddin Idris Shah berucap pada sidang Dewan Undangan Negeri di Shah Alam pada 14 Mac. Gambar: Bernama

Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) mengenai Penyata Kewangan Kerajaan Negeri dan Agensi Negeri Serta Pengauditan Pematuhan Jabatan/Agensi Negeri Selangor Tahun 2020 mendapati terdapat pembayaran tidak wajar yang dibuat di Majlis Sukan Negeri Selangor (MSNS).

Ketua Audit Negara Nik Azman Nik Abdul Majid berkata laporan tersebut yang dibentangkan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor hari ini mendedahkan pembayaran tidak wajar itu yang dibuat kepada penerima tidak sah adalah berjumlah RM1.95 juta, iaitu RM500,000 dibayar pada 2020 dan RM1.4 juta dibayar pada 2019.

Selain itu, katanya hasil pengauditan yang dijalankan berkenaan kutipan cukai tanah lot tanah pertanian di Pejabat Daerah dan Tanah Petaling melaporkan cukai tanah bagi lapan hak milik tanah lot pertanian kategori desa (mukim) telah terkurang kutip sejumlah RM404,978.

“Kesilapan mengenakan kadar cukai juga menyebabkan cukai tanah bagi tujuh hak milik terlebih kutip sebanyak RM36,248 bagi 2020,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata semua ketua jabatan atau agensi yang berkenaan telah dimaklumkan terlebih dahulu mengenai perkara yang dilaporkan dalam LKAN untuk tujuan pengesahan dan mesyuarat penutup juga telah diadakan bagi tujuan membincangkan penemuan audit dan mendapatkan penjelasan serta maklum balas terhadap isu-isu berbangkit.

Susulan itu, Nik Azman berkata pihaknya telah mengemukakan tujuh syor kepada jabatan atau agensi yang berkenaan untuk memperbaiki kelemahan dilaporkan.

Mengenai penyata kewangan kerajaan Selangor bagi tahun berakhir 31 Disember 2020, beliau berkata hasil pengauditan yang dijalankan pihaknya telah memberi pendapat tanpa teguran.

“Secara keseluruhannya, penyata kewangan tersebut menunjukkan gambaran yang benar dan saksama tentang kedudukan kewangan kerajaan negeri dan rekod perakaunan telah diselenggarakan dengan lengkap dan kemas kini,” katanya.

Nik Azman berkata bagi analisis kewangan kerajaan negeri, kedudukan kewangan kerajaan Selangor adalah stabil dengan baki terkumpul kumpulan wang disatukan pada akhir 2020 berjumlah RM2.445 bilion berbanding RM2.141 bilion pada akhir 2019.

Bagi baki hutang awam, beliau berkata jumlahnya menurun sebanyak RM5.61 juta atau 0.5 peratus menjadi RM1.105 bilion berbanding RM1.110 bilion pada 2019.

Bagaimanapun katanya, tunggakan bayaran balik hutang awam oleh kerajaan Selangor pada 2020 meningkat sebanyak RM30.97 juta atau 108.5% menjadi RM59.52 juta berbanding RM28.55 juta pada 2019.

Nik Azman berkata LKAN telah dibentangkan di Dewan Rakyat pada 2 Dis 2021 setelah diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah dan dibentangkan di DUN Selangor hari ini setelah diperkenan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah.

LKAN boleh diakses oleh orang awam di laman sesawang http://www.audit.gov.my mulai 10 pagi ini.