- Iklan -
Berita

Malaysia, Jepun gandakan usaha hadapi isu rantaian bekalan global

Isu-isu itu termasuk meningkatkan hubungan perdagangan dan pelaburan dua hala, Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau dan Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Mohamed Azmin Ali bersama bekas perdana menteri Jepun Shinzo Abe ketika kunjungan hormat pada 12 Mac. Gambar: Facebook
Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Mohamed Azmin Ali bersama bekas perdana menteri Jepun Shinzo Abe ketika kunjungan hormat pada 12 Mac. Gambar: Facebook

Malaysia dan Jepun telah mengesahkan komitmen masing-masing untuk menggandakan usaha bagi menghadapi cabaran era baru, khususnya isu berkaitan gangguan rantaian bekalan global.

Menteri Kanan merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Mohamed Azmin Ali semasa melakukan kunjungan hormat ke atas bekas perdana menteri Jepun dan utusan khas perdana menteri Jepun ke Malaysia Shinzo Abe, turut mengambil peluang untuk membincangkan pelbagai isu kepentingan bersama.

Isu-isu itu termasuk meningkatkan hubungan perdagangan dan pelaburan dua hala, ulang tahun ke-40 Dasar Pandang Ke Timur, Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP), Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP) dan penganjuran Ekspo Osaka 2025 oleh Jepun, kata kementerian perdagangan antarabangsa dan industri (Miti) dalam satu kenyataan.

Mereka mengakui bahawa dalam beberapa tahun kebelakangan ini, kedua-dua negara telah mengembangkan ruang lingkup kerjasama termasuk dalam langkah-langkah memerangi Covid-19, pembangunan bandar pintar, infrastruktur komunikasi serta peralihan tenaga untuk mencapai karbon sifar bersih.

“Kedua-dua pihak bersetuju mengenai pentingnya bekerjasama untuk menangani cabaran era baharu, terutamanya dalam menghadapi isu-isu yang berlarutan berkaitan gangguan rantaian bekalan global,” kata kementerian itu.

Mengenai RCEP, Abe berkata beliau menantikan perjanjian itu dikuatkuasakan Malaysia pada 18 Mac sambil melahirkan harapan agar Malaysia turut segera meratifikasi CPTPP.

Miti berkata Azmin mengambil peluang untuk memaklumkan kepada Abe bahawa Malaysia baharu sahaja menyelesaikan analisis kos-faedah untuk CPTPP dan kini sedang menjalankan proses domestik, termasuk pindaan perundangan yang diperlukan.

Sambil memuji Dasar Pandang Ke Timur Malaysia yang telah memasuki tahun ke-40, Abe menekankan keberkesanannya dalam menyediakan Malaysia dengan asas yang kukuh dalam mempromosikan kerjasama perdagangan dan pelaburan, pembangunan sumber manusia serta hubungan sesama rakyat dengan Jepun.

Tahun lepas, Jepun disenaraikan sebagai rakan dagangan global keempat terbesar Malaysia dan kedua terbesar selepas China untuk rantau Asia Timur, manakala Malaysia ialah rakan dagangan ke-10 terbesar Jepun.

Jumlah dagangan antara kedua-dua negara mencecah RM148.98 bilion, dengan eksport Malaysia ke Jepun berjumlah RM75.27 bilion dan import dari Jepun bernilai RM73.71 bilion.

Sehingga 2021, sejumlah 2,709 projek pembuatan dengan penyertaan Jepun telah direalisasikan dengan jumlah pelaburan sebanyak RM90.9 bilion, menghasilkan 337,280 pekerjaan.

Sebahagian besar daripada pelaburan ini adalah dalam produk elektronik dan elektrik, kimia dan produk kimia, produk mineral bukan logam dan peralatan pengangkutan.