- Iklan -
Berita

Kurangkan kebergantungan kepada ujian RT-PCR, kata Khairy

Menurut menteri kesihatan, RTK-Ag yang lebih murah dan mudah didapati di pasaran sudah memadai bagi mengesan kes positif Covid-19 berbanding RT-PCR yang lebih mahal.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Ujian Reaction Transcription Polymerase Chain Reaction atau RT-PCR mampu mengesan Covid-19 sebelum orang itu mampu menjangkiti orang lain berbanding ujian Rapid Antigen (RTK-Ag).
Ujian Reaction Transcription Polymerase Chain Reaction atau RT-PCR mampu mengesan Covid-19 sebelum orang itu mampu menjangkiti orang lain berbanding ujian Rapid Antigen (RTK-Ag).

Kebergantungan kepada ujian RT-PCR Covid-19 perlu dikurangkan dan penggunaan kit ujian pantas antigen (RTK-Ag) adalah lebih baik semasa fasa peralihan ke endemik.

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin menerusi hantaran video berdurasi dua minit di Twitter hari ini berkata keputusan RTK-Ag yang pantas iaitu hanya mengambil 15 minit berbanding keputusan RT-PCR (ujian tindak balas berantai polimerase masa nyata) yang mengambil tempoh panjang, adalah lebih efektif dalam menghadapi gelombang Omicron.

“Berbanding RT-PCR yang sangat sensitif, sampai orang yang sudah pulih pun masih lagi positif bila mengambil ujian RT-PCR. Dalam situasi sekarang di mana varian Omicron yang cepat merebak, ujian RTK adalah lebih efektif kerana tidak perlu 24 hingga 48 jam untuk tahu sama ada positif atau tidak.

“Lebih cepat kita boleh kesan, lebih cepat kita asingkan diri jika positif. Lebih baik 1,000 orang menjalani ujian RTK-Ag daripada 10 orang yang RT-PCR walaupun RT-PCR lebih sensitif,” katanya.

Beliau berkata RTK-Ag yang lebih murah dan mudah didapati di pasaran sudah memadai bagi mengesan kes positif Covid-19 berbanding RT-PCR yang lebih mahal.

Beliau turut mengingatkan orang ramai bahawa sekiranya keputusan RTK-Ag dikesan positif, keputusan itu tidak perlu disahkan dengan menjalani ujian RT-PCR sebaliknya individu berkenaan perlu menjalani kuarantin serta-merta.

Mengenai kualiti kit ujian kendiri Covid-19, Khairy berkata kementerian sentiasa memantau kualiti kit ujian tersebut.