- Iklan -
Berita

Rekahan tanah dikesan, 200 penduduk sekitar Taman Permai diarah kosongkan rumah

Rekahan tanah di lokasi kejadian tanah runtuh di Ampang dikhuatiri boleh menyebabkan kejadian tanah runtuh susulan.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Anggota polis memantau keselamatan kawasan perumahan yang terjejas ekoran kejadian tanah runtuh di Taman Bukit Permai 2, Ampang hari ini. Gambar: Bernama
Anggota polis memantau keselamatan kawasan perumahan yang terjejas ekoran kejadian tanah runtuh di Taman Bukit Permai 2, Ampang hari ini. Gambar: Bernama

Lebih 200 penduduk melibatkan 48 rumah di Taman Bukit Permai 2, Ampang diarah mengosongkan kediaman mereka susulan terdapat rekahan tanah yang dikhuatiri menyebabkan pergerakan tanah di lokasi kejadian tanah runtuh itu.

Pegawai Daerah Hulu Langat Ani Ahmad berkata arahan mengosongkan kediaman itu adalah serta-merta bagi memberi ruang kepada pihak berkuasa melakukan kajian terperinci.

“Sebanyak 48 rumah di empat lorong diarah untuk dikosongkan bagi mengelak kejadian tidak diingini berlaku memandangkan keadaan cuaca tidak menentu ketika ini.

“Kami ada menyediakan pusat pemindahan sementara (PPS) di Dewan Orang Ramai Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) yang terletak berhampiran dengan lokasi kejadian,” katanya pada sidang media di lokasi kejadian di Ampang hari ini.

Ani berkata setakat ini tiada mangsa tinggal di PPS berkenaan kerana ada yang memilih untuk tinggal di rumah saudara, hotel dan inap desa berdekatan.

Namun, katanya PPS berkenaan sentiasa dibuka kepada penduduk yang mahu tinggal sementara di sana.

Ani berkata satu pusat pengurusan bencana daerah melibatkan kerjasama beberapa agensi antaranya MPAJ; Jabatan Kerja Raya; polis dan Jabatan Bomba dan Penyelamat diwujudkan bagi merangka strategi lebih teratur dalam mengendalikan kejadian itu.

“Setakat ini kerja-kerja pembersihan tidak boleh dilaksanakan kerana perlu melihat aspek kestabilan cerun berkenaan,” katanya.

Kejadian tanah runtuh di Taman Bukit Permai 2, Ampang pada 5.54 petang semalam meragut empat nyawa dan menyebabkan seorang cedera ringan selain menyebabkan 15 rumah serta 10 kenderaan rosak.