- Iklan -
Berita

Jumlah mangsa banjir di Johor, Melaka dan Selangor menurun

284 orang mangsa masih berada di PPS setakat pagi tadi.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Orang ramai dilihat terkandas kawasan air bertakung akibat hujan lebat di sekitar kawasan perumahan di Lorong Gurney, Kuala Lumpur. Gambar: Bernama
Orang ramai dilihat terkandas kawasan air bertakung akibat hujan lebat di sekitar kawasan perumahan di Lorong Gurney, Kuala Lumpur. Gambar: Bernama

Jumlah mangsa banjir di Johor, Melaka dan Selangor yang dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) menurun kepada 284 orang dari 73 keluarga pagi ini berbanding 327 orang dari 83 keluarga semalam.

Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) dalam laporan terkini pada 8 pagi ini memaklumkan seramai 14 individu dari empat keluarga masih berlindung di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Linau, Kluang, Johor yang dibuka sejak Rabu lepas.

Di Melaka, hanya satu PPS dibuka pada 8 Mac lepas di daerah Jasin, iaitu di SK Parit Penghulu yang menempatkan 33 mangsa daripada tujuh keluarga.

Sementara itu di Selangor, jumlah mangsa di daerah Kuala Langat dan Sepang kekal dengan 237 mangsa dari 62 keluarga dan masih ditempatkan di lima PPS yang beroperasi.

Lima PPS tersebut adalah Balai Raya Kampung Orang Asli Bukit Serdang, Balai Raya Kampung Orang Asli Bukit Tadom, Dewan Orang Ramai Kampung Bukit Changgang, Sekolah RTB Bukit Changgang dan SK Kota Warisan.