- Iklan -
Berita

4 terkorban dalam kejadian tanah runtuh di Ampang

Polis berkata identiti kesemua mangsa yang meninggal dunia masih belum dikenal pasti.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Anggota penyelamat mencari mangsa di kawasan tanah runtuh Taman Bukit Permai, Ampang malam tadi. Gambar: Bernama
Anggota penyelamat mencari mangsa di kawasan tanah runtuh Taman Bukit Permai, Ampang malam tadi. Gambar: Bernama

Mangsa keempat dan kelima tanah runtuh di Taman Bukit Permai 2, Ampang ditemui dan disahkan meninggal dunia.

Kedua-kedua lelaki itu merupakan korban ketiga dan keempat dalam insiden tanah runtuh.

Sebelum itu seorang wanita warga emas dan seorang lelaki turut maut manakala seorang lelaki cedera.

Ketua Polis Ampang Jaya Mohamad Farouk Eshak berkata kedua-dua mangsa merupakan lelaki warga tempatan dengan seorang daripada mangsa merupakan pekerja Syarikat Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd.

Beliau berkata mangsa keempat ditemukan pada pukul 12.46 tengah malam manakala mangsa kelima dijumpai pada pukul 1.59 awal pagi tadi.

Identiti kesemua mangsa yang meninggal dunia masih belum dikenal pasti, katanya.

“Oleh itu, operasi mencari dan menyelamat kesemua mangsa ditamatkan pada awal pagi ini,” katanya dalam sidang media di lokasi kejadian.

Beliau berkata polis akan membuat kawalan keselamatan selama 24 jam bagi memastikan barang-barang milik penghuni terjejas tidak hilang dan rumah mereka tidak diceroboh.

Farouk meminta jika ada penghuni-penghuni yang rumahnya diceroboh untuk membuat laporan polis.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor Norazam Khamis berkata pihaknya akan menggunakan Unit Anjing Pengesan K9 di tapak runtuhan bagi memastikan tiada mangsa lain yang terlibat.

“Kerja-kerja pembersihan tanah runtuh akan dilaksanakan oleh Majlis Perbandaran Ampang Jaya,” katanya.

Tinjauan Bernama mendapati sebilangan ahli pasukan mencari dan menyelamat daripada pasukan polis dan Angkatan Pertahanan Awam dilihat mula bersurai dari lokasi kejadian susulan penemuan kesemua lima mangsa.

Pada masa sama, pihak Kementerian Kesihatan Malaysia juga mula mengemas khemah rawatan khas susulan penamatan operasi mencari dan menyelamat (SAR) oleh polis kira-kira 2 pagi.