- Iklan -
Berita

Syarikat di sebalik pelaburan pokok gaharu ancam tindakan undang-undang terhadap MalaysiaNow

Asia Plantation Capital menuduh MalaysiaNow memfitnah dan menerbitkan berita palsu dan menuntut permohonan maaf secara terbuka.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Antara mangsa pelaburan pokok gaharu di Thailand ketika di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur pada 2 Mac lalu. Mereka memohon mahkamah mengarahkan kes tersebut disiasat polis.
Antara mangsa pelaburan pokok gaharu di Thailand ketika di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur pada 2 Mac lalu. Mereka memohon mahkamah mengarahkan kes tersebut disiasat polis.

Syarikat di sebalik skim pelaburan pokok gaharu di Thailand di mana tiada pulangan diperolehi pelabur mengancam tindakan undang-undang terhadap MalaysiaNow susulan penerbitan laporan berkenaan kes tersebut, menuduh laman sesawang berita itu menerbitkan berita palsu dan mengelirukan.

Dalam notis tuntutan yang dihantar kepada MalaysiaNow oleh peguamnya, Asia Plantation Capital (APC) turut mendakwa artikel, “180 fleeced of RM22.6 million after failed agarwood investment in Thailand” diterbitkan dengan niat prejudis ke atas haknya untuk menjalani perbicaraan adil dalam tindakan mahkamah yang diambil pelabur terhadapnya.

“Penerbitan artikel tersebut memberi kesan buruk terhadap kedudukan dan mengakibatkan kerugian material terhadap anak guam kami dalam tindakan undang-undang terhadapnya di mahkamah,” kata notis tersebut.

“Anak guam kami berhak untuk memulakan prosiding saman fitnah terhadap anda.”

Dalam artikel yang disiarkan pada 3 Mac lalu, MalaysiaNow melaporkan 180 individu mengalami kerugian lebih RM22.6 juta akibat projek pelaburan kayu gaharu tersebut.

Kes itu difahamkan bermula seawal 2011 apabila syarikat tersebut mula mengiklankan mengenai pelaburan tanaman pokok gaharu di sebidang tanah yang diperoleh menerusi pajakan di Sakon Nakhon, Thailand.

MalaysiaNow juga memperoleh dokumen dan laporan yang menunjukkan pelaburan itu menjanjikan pulangan lumayan, di mana beberapa mangsa direkodkan membuat transaksi melebihi RM500,000 bagi melabur dalam perniagaan tersebut.

Namun begitu, selepas kontrak perjanjian jual beli ditandatangani, APC dilaporkan tidak memberi maklum balas seperti yang dijanjikan dan terus berdiam diri sehingga mereka dihubungi oleh mangsa-mangsa.

Ekoran itu, pada 2020, dianggarkan antara 60 hingga 70 mangsa tampil membuat laporan polis terhadap syarikat tersebut, namun MalaysiaNow difahamkan kes ini diklasifikasikan sebagai NFA (tiada tindakan lanjut) atas sebab tiada petunjuk baru yang boleh dikaitkan dengan kes berkenaan.

Mangsa bagaimanapun tidak berputus asa dan berpakat membawa kes ini ke mahkamah dan diwakili sekumpulan peguam yang diketuai oleh Shobah Veera.

Mereka memohon perintah supaya polis menyiasat semula kes tersebut di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan selain selain saman yang turut difailkan terhadap syarikat itu.

Menurut Shobah, pengurusan kesnya akan berlangsung pada 31 Mac depan.

Dalam notis tuntutannya kepada MalaysiaNow, APC memberi tempoh selama tujuh hari untuk menghentikan penerbitan artikel tersebut dan berhenti daripada menerbitkan laporan lanjut mengenai syarikat itu.

APC turut menuntut MalaysiaNow memadamkan artikel sedia ada daripada laman sesawangnya dan membuat permohonan maaf secara terbuka.

“Sila beri perhatian, bahawa sekiranya anda gagal mematuhi tuntutan anak guam kami, kami diarahkan untuk mengambil tindakan undang-undang yang perlu terhadap anda tanpa perlu merujuk lebih lanjut kepada anda dan pihak anda akan bertanggungjawab atas kos yang timbul selepas daripadanya,” kata notis itu lagi.

Semakan MalaysiaNow juga menunjukkan bahawa laman sesawang APC kini ditutup.