- Iklan -
Berita

Lebih 2 juta penduduk Ukraine jadi pelarian

PBB menggesa pelarian Ukraine dibenarkan untuk menuju ke mana-mana negara berdekatan.

AFP
2 minit bacaan
Kongsi
Wanita dan kanak-kanak didahulukan dalam evakuasi menggunakan keretapi di Odessa pada 7 Mac lalu. Gambar: AFP
Wanita dan kanak-kanak didahulukan dalam evakuasi menggunakan keretapi di Odessa pada 7 Mac lalu. Gambar: AFP

Penduduk yang kini terdesak mula melarikan diri dari bandar Ukraine melalui beberapa koridor kemanusiaan yang dibuka oleh Rusia pada Selasa, menjadikan jumlah pelarian dari negara itu kini mencecah lebih dua juta orang.

Bagaimanapun, Kyiv menyifatkan langkah baru Moscow yang membuka sempadannya sebagai satu strategi publisiti ketika Rusia melancarkan serangan di bandar Sumy sehingga menyebabkan 21 orang awam terkorban.

Dalam pada itu, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menggesa supaya mangsa yang melarikan diri dibenarkan untuk menuju ke mana-mana kawasan yang mereka pilih selepas laporan menunjukkan orang awam menjadi mangsa bedilan ketika mereka cuba meninggalkan kawasan konflik.

Ketika ini, ribuan penduduk masih terperangkap di bandar itu dan kini berada dalam keadaan yang buruk.

Perang terbaru di Eropah itu mencetuskan krisis pelarian terbesar di benua tersebut sejak Perang Dunia Kedua di mana setakat ini lebih dua juta orang meninggalkan Ukraine.

Memberikan respons terhadap tindakan Rusia, Barat telah mengenakan sekatan ke atasnya sehingga menyebabkan impak besar ke atas ekonomi global.

Walaupun tindakan sedemikian diambil, Barat dan Kesatuan Eropah (EU) masih gagal untuk menghalang Presiden Vladimir Putin daripada meneruskan serangannya.

Rusia memberi amaran ia boleh menghentikan bekalan gas Eropah sebagai tindak balas terhadap sekatan yang dikenakan ke atasnya dan berkata sebarang larangan oleh sekutu Barat terhadap import minyak Rusia akan membawa “malapetaka”.

Pada Selasa, Ukraine berkata hampir dua minggu perang tercetus, Rusia terus meningkatkan kerahan tentera dan peralatannya di sekitar zon konflik utama dalam usaha mengepung ibu negara itu.

Presiden Ukraine Volodymyr Zelensky juga turut mengecam Barat kerana tidak menepati janji untuk melindungi negaranya daripada serangan Rusia.

“Sudah 13 hari kami hanya mendengar janji, selama 13 hari kami diberitahu kami akan mendapat bantuan pertahanan udara, pesawat akan datang (ke sini),” kata Zelensky dalam siaran video di Telegram.

“Tanggungjawab (terhadap nyawa yang gugur) ini juga turut terbeban pada mereka yang tidak mampu membuat keputusan di Barat selama 13 hari ini,” tambahnya.

“Ia juga menjadi tanggungjawab kepada mereka yang tidak menyelamatkan ruang udara Ukraine daripada pembunuh Russia.”