- Iklan -
Berita

64.2% dewasa terima dos penggalak, 29.9% kanak-kanak diberi suntikan pertama vaksin

Sementara itu, 91% daripada populasi remaja telah lengkap divaksinasi.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Seorang kanak-kanak tenang ketika menerima vaksinasi di bawah PICKids di PPV Dewan Komuniti Taman Bukit Mewah, Kajang.
Seorang kanak-kanak tenang ketika menerima vaksinasi di bawah PICKids di PPV Dewan Komuniti Taman Bukit Mewah, Kajang.

Seramai 15,113,923 individu dewasa atau 64.2% daripada populasi kumpulan itu di negara ini telah menerima dos penggalak Covid-19 setakat semalam.

Berdasarkan data menerusi laman web CovidNow, sejumlah 22,930,441 atau 97.5% daripada populasi sama telah melengkapkan vaksinasi mereka manakala 23,207,220 atau 98.7% menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.

Bagi populasi kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun, sebanyak 1,060,063 individu atau 29.9% kumpulan itu telah menerima dos pertama vaksin Covid-19 melalui Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Kanak-Kanak (PICKids).

Sementara itu, bagi remaja berusia 12 hingga 17 tahun, sebanyak 2,832,919 individu atau 91% daripada populasi itu telah melengkapkan vaksinasi mereka manakala 2,933,324 atau 94.2% menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.

Vaksinasi harian semalam menyaksikan sebanyak 68,624 dos vaksin diberikan meliputi 19,511 dos pertama, 1,835 dos kedua dan 47,278 dos penggalak, menjadikan jumlah kumulatif dos vaksin yang diberikan di bawah Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) sebanyak 67,869,343.

Sementara itu, menurut portal GitHub KKM, 79 kes kematian akibat Covid-19 direkodkan semalam dengan Johor merekodkan angka tertinggi iaitu 16 kes, diikuti Kedah dan Perak masing-masing 13 kes.

Selangor merekodkan 11 kes, Pahang dan Sabah masing-masing lima kes, Kelantan (empat), Melaka (tiga), masing-masing dua kes di Pulau Pinang, Sarawak, Kuala Lumpur dan Putrajaya manakala Negeri Sembilan (satu).