- Iklan -
Berita

Banjir kilat landa KL

Kawasan Kuchai Lama, Pudu antara yang terjejas teruk.

Staff Writers
1 minit bacaan
Kongsi
Orang ramai berlindung di kawasan bangunan di pusat bandar Kuala Lumpur ketika jalan raya ditenggelami air.
Orang ramai berlindung di kawasan bangunan di pusat bandar Kuala Lumpur ketika jalan raya ditenggelami air.

Beberapa kawasan di sekitar Kuala Lumpur dilanda banjir kilat susulan hujan lebat di ibu negara petang tadi.

Perkembangan itu turut disahkan oleh Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) yang mengeluarkan amaran rebut petir hari ini.

“Sehingga jam 5 petang, Nadma ingin mengesahkan kejadian banjir kilat yang melanda beberapa kawasan di Lembah Klang,” akta agensi itu dalam satu hantaran di Facebook.

Antara kawasan yang dilaporkan terjejas akibat banjir kilat termasuk Kuchai Lama, Pudu, Bukit Jalil, dan Ampang.

Nadma turut memaklumkan kawasan pusat bandar seperti Dang Wangi, Jalan Sultan Ismail, Jalan Ampang, Jalan Raja Laut, Jalan Kia Peng dan Raja Chulan turut dinaiki air.

Warga maya turut dilihat berkongsi gambar, video dan laporan yang memaparkan lebuh raya yang dinaiki air di sekitar kawasan terlibat.

Antara video yang dilihat beberapa orang terperangkap dalam kereta yang ditenggelami air cuba menyelamatkan diri.

Lebuhraya Pantai Baharu (NPE) dalam satu ciapan Twitter memaklumkan bahawa Terowong Kuchai telah ditutup sejak jam 4.20 petang tadi sambil menasihatkan pengguna lebuh raya mencari laluan alternatif.

“Penutupan penuh Terowong Kuchai disebabkan banjir kilat. Sila guna laluan alternatif. Ikuti arahan anggota bertugas dan papan tanda keselamatan.

“Untuk bantuan, sila hubungi talian infoline di 1-300-88-1010.”