- Iklan -
Berita

214 kes baru Covid Kategori 3 hingga 5

60 kes dari jumlah tersebut melibatkan individu tidak divaksinasi atau belum lengkap vaksinasi.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Sampel ujian saringan yang diambil petugas kesihatan melalui RTK-antigen. Penularan varian Omicron menyebabkan kes jangkitan meningkat secara mendadak sehingga melepasi 20,000 pada Februari.
Sampel ujian saringan yang diambil petugas kesihatan melalui RTK-antigen. Penularan varian Omicron menyebabkan kes jangkitan meningkat secara mendadak sehingga melepasi 20,000 pada Februari.

Sejumlah 214 kes dari 33,406 kes baru Covid-19 yang dicatatkan semalam terdiri daripada Kategori Tiga, Empat dan Lima.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah dalam kenyataan hari ini memaklumkan baki 33,129 kes pula, terdiri daripada Kategori Satu dan Dua, sekali gus menjadikan jumlah kes kumulatif sebanyak 3,595,172.

“Daripada 214 kes Kategori Tiga hingga Lima, 60 kes melibatkan individu yang tidak divaksinasi atau belum lengkap divaksinasi serta 101 kes lengkap vaksinasi namun belum menerima dos penggalak serta 53 kes telah menerima dos penggalak.

“Selain itu, bagi Kategori Satu dan Dua pula, terdapat 96 kes melibatkan individu berumur 60 tahun dan ke atas, 70 kes mempunyai komorbid dan satu kes ibu mengandung,” katanya.

Beliau memaklumkan sebanyak 2,019 kes Covid-19 dimasukkan ke hospital semalam, melibatkan 772 kes Kategori Tiga hingga Lima serta 1,247 kes Kategori Satu dan Dua.

Sementara itu, Dr Noor Hisham berkata sebanyak 371 kes memerlukan rawatan di unit rawatan rapi (ICU) dan 226 kes memerlukan bantuan pernafasan, manakala  27,143 kes sembuh dilapor semalam menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 3,250,793 kes.

Mengenai penggunaan katil kes kritikal atau ICU Covid-19 di hospital beliau berkata tujuh negeri menunjukkan pengisian 50% atau lebih iaitu Putrajaya (83%), Johor (65%), Kuala Lumpur (65%), Perlis (64%), Kelantan (63%), Selangor (62%) dan Perak (55%).

Menurutnya nilai kadar kebolehjangkitan (Rt) Covid-19 negara kini 1.05, dengan Sarawak mencatatkan Rt tertinggi iaitu 1.41, diikuti Perak (1.26), Kuala Lumpur (1.25) dan Terengganu (1.15).

Dalam pada itu, beliau menyatakan sehingga 18 Februari lepas sebanyak 128 kit ujian kendiri di pasaran yang mendapat kelulusan daripada Pihak Berkuasa Peranti Perubatan Malaysia (MDA), dengan penjualan kit ujian diperluaskan bukan sahaja di farmasi dan fasiliti kesihatan, malah di kedai-kedai terpilih.

Katanya MDA memantau keselamatan dan prestasi kit ujian kendiri yang diluluskan, justeru orang ramai disaran melaporkan kepada pembekal kit ujian dan MDA sekiranya terdapat sebarang isu dengan kit yang digunakan.

“Kementerian kesihatan (KKM) amat menyarankan agar orang awam mengoptimumkan ujian RTK-Ag kendiri sebagai ujian saringan, bagi mengesan jangkitan Covid-19 dan membuat laporan kendiri bagi keputusan ujian melalui aplikasi MySejahtera.

“Langkah ini penting bagi memastikan masyarakat boleh menjalankan aktiviti harian dengan selamat dan membantu negara meneruskan pemulihan serta pertumbuhan sosioekonomi negara dengan lebih mampan,” katanya.