- Iklan -
Berita

Di pesisir Selat Tebrau, Orang Asli mahu calon peduli kebajikan, pulih ekonomi

Kesan tambak laut juga menjejaskan dapatan hasil tangkapan laut komuniti tersebut

Nur Hasliza Mohd Salleh
2 minit bacaan
Kongsi
Orang Asli Seletar tempatan tersenyum ketika pulang ke rumahnya di Kampung Sungai Temun selepas mengumpul kupang di pantai.
Orang Asli Seletar tempatan tersenyum ketika pulang ke rumahnya di Kampung Sungai Temun selepas mengumpul kupang di pantai.

Di pesisir Selat Tebrau, penduduk Orang Asli masih belum bersua dengan calon-calon bertanding meskipun sudah masuk seminggu tempoh berkempen bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Berada di bawah Dewan Undangan Negeri (DUN) Perling, penduduk Orang Asli laut suku kaum Seletar di Kampung Sungai Temun berkata pihaknya hanya akan memberi perhatian kepada calon-calon yang benar-benar menawarkan kebajikan tertinggi kepada mereka.

Terutama sekali, calon yang berupaya membantu memulihkan aliran ekonomi mereka yang terjejas teruk akibat perintah kawalan pergerakan (PKP) bagi mengelakkan penularan jangkitan Covid-19.

Tinjauan MalaysiaNow ke kampung tersebut mendapati aktiviti perniagaan komuniti itu sangat perlahan dengan keadaan pelanggan dan pengunjung yang lengang.

Kampung tersebut terkenal dengan hidangan makanan laut segar hasil tangkapan para nelayan.

Orang Asli Seletar bergotong-royong membaiki sebuah jambatan kayu di rumah mereka di Kampung Sungai Temun, Johor Bahru.

Juga, perkhidmatan sewaan bot dan rakit untuk pemancing tegar untuk memancing di laut.

Seorang penduduk setempat ketika ditemui berkata, pendapatannya hasil sewaan bot merosot teruk sejak dua tahun lalu.

“Sebelum ini, RM200 sehari boleh dapat. Kadang-kadang lebih pada waktu hujung minggu kerana pemancing menyewa sampai subuh hari,” katanya kepada MalaysiaNow.

“Sekarang, nak dapat RM100 pun susah,” kata Liza yang juga isteri kepada ketua nelayan di kampung berkenaan.

Tambahnya, disebabkan kehadiran pelanggan yang berkurangan dia terpaksa memberhentikan pekerja-pekerjanya yang sebelum ini ditugaskan menyelenggara bot dan rakit berbumbung miliknya.

Menurut Liza, komuniti Orang Asli laut di sepanjang Selat Tebrau merupakan komuniti kedua terbesar selepas suku kaum Temiar.

Ini melibatkan penduduk di pesisir pantai di Masai, Ulu Tiram dan Pasir Gudang.

MalaysiaNow dimaklumkan, seramai lebih 200 pengundi di kampung Sungai Temun yang terdiri daripada 90 keluarga.

Masalah tambak laut

Kata Liza, beliau sudah menetap di kampung tersebut selama tiga generasi dan ambil maklum dengan segala jenis isu dan permasalahan penduduk di situ.

Setakat ini, kegusaran mereka tertumpu kepada projek penambakan laut oleh pemaju sejak sembilan tahun yang lalu dikatakan untuk mendirikan pusat peranginan di tepi pantai.

Namun, permasalahan itu sudah di bawa ke mahkamah dan beberapa memorandum sudah pun diserahkan kepada pemaju untuk dirunding.

Kanak-kanak Orang Asli Seletar bermain di sebuah tasik kecil di Kampung Sungai Temun, Johor.

Sejak projek tambak laut berjalan, penduduk di sini yang menjalankan aktiviti tangkapan hasil laut mendapati ekosistem laut terganggu apabila hasil menurun secara drastik.

Sebelumnya, banyak jenis ikan dapat ditangkap seperti kerapu, gelama dan ikan duri.

Kini, hanya sekadar, mencuba nasib.

“Ada hari, adalah kak. Kalau tidak, susah juga kami ni.

“Dulu, ketam sahaja boleh dapat gred A, B dan C berpuluh kilo sehari. Sekarang, tiga hari nak dapat sekotak ketam pun susah,” katanya.

Sementara itu, Tok Batin kampung berkenaan, Salem berkata, dia hanya menyakinkan penduduk untuk memilih calon yang benar-benar boleh membantu komunitinya dan berani mempertahankan kampung tersebut daripada ancaman luar seperti pemaju projek-projek pembangunan.

DUN Perling menyaksikan pertembungan tiga penjuru menyaksikan bekas timbalan menteri pertahanan Liew Chin Tong (Pakatan Harapan), Tan Hiang Kee (Barisan Nasional) dan Koo Shiaw Lee (Perikatan Nasional).

Lebih 2.57 juta pengundi PRN Johor dijangka membuang undi pada 12 Mac ini.