- Iklan -
Berita

Suasana kempen hambar ketika SOP PRN Johor terus ketat

Pilihan raya yang sering dianggap 'pesta demokrasi' kini terpaksa mematuhi pelbagai SOP kesihatan bagi membendung Covid-19.

Nur Hasliza Mohd Salleh
3 minit bacaan
Kongsi
Penunggang motorsikal melalui bendera parti politik di satu kawasan di Kampung Melayu Majidee, sempena kempen PRN Johor 12 Mac depan.
Penunggang motorsikal melalui bendera parti politik di satu kawasan di Kampung Melayu Majidee, sempena kempen PRN Johor 12 Mac depan.

Kempen bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor sudah menghampiri hari ketujuh, namun suasananya kelihatan hambar dan tidak meriah dengan kekurangan bendera-bendera parti politik dan poster calon.

Kebiasaanya, pilihan raya dianggap seakan satu pesta yang meriah dengan “perang” bendera dan kain-kain rentang yang memaparkan gambar calon bertanding diletakkan bersama logo parti politik masing-masing.

Selain itu di musim pilihan raya juga kebiasaannya pergerakan parti politik meriah dengan kenderaan-kenderaan penyokong parti dihiaskan dengan bendera serta kreativiti masing-masing menghias kenderaan jentera parti.

Bukan itu sahaja, suasana dihangatkan lagi dengan kempen melalui pembesar suara memuji kebolehan dan keistimewaan calon masing-masing sehingga boleh didengari berpuluh meter jauhnya.

Bagaimanapun, tinjauan MalaysiaNow di daerah Segamat mendapati suasana kempen yang hambar.

Suruhanjaya Pilihan Raya hanya membenarkan ceramah di premis parti dengan kehadiran tidak lebih 100 orang termasuk penganjur.

Bendera-bendera parti yang dipacak di tepi jalan boleh dikira dengan jari dan hanya boleh dilihat selang beberapa puluh minit dengan perjalanan kereta.

Di tepi pekan Segamat, MalaysiaNow mengikut perlahan sebuah pacuan empat roda dari Pakatan Harapan (PH) yang kosong dan hanya dinaiki oleh pemandu dan seorang penumpang berkemungkinan sedang meronda di kawasan berkenaan.

Sementara itu, di laluan Labis-Lenga, hanya kelihatan beberapa batang bendera parti dipacak.

Boleh dikatakan, hampir sepanjang jalan tidak kelihatan bendera dan poster-poster calon melainkan daripada Perikatan Nasional (PN) dan Barisan Nasional (BN).

Ceramah lengang

Pada malam Selasa, ceramah calon PH bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Iskandar di Taman Mutiara Rini tidak mendapat sambutan.

Kerusi-kerusi yang disusun hanya dipenuhi oleh pengamal media dan petugas bilik gerakan parti.

Disebabkan itu, perjalanan program yang dijangka berlangsung selama dua jam hanya mampu bertahan tidak sampai 40 minit.

Meskipun lokasi ceramah sudahpun memastikan penjarakan fizikal dalam penyusunan kerusi, tetapi sambutan daripada pengundi masih kurang.

Apakah penyebab sambutan kempen yang selalunya meriah dan luar biasa menjadi satu suasana yang sangat sugul dan hambar?

Suasana ceramah yang dihadiri lebih ramai pengamal berbanding orang ramai dalam kalangan pengundi atau penyokong.

Di Kampung Tonjos, Mukim Jabi yang terletak kurang lima kilometer daripada pekan Segamat, Shafiie Halim berkata dia tidak memasang harapan untuk berjumpa mana-mana calon yang bertanding.

Katanya, dia lebih berminat berjumpa dengan sesiapa yang mahu membeli kereta yang diparkir di hadapan rumahnya selepas lebih dua bulan tong minyak hitam diletakkan di atas kenderaannya itu.

“Sesiapa datang saya tak halau. Tapi saya tak ada lah sampai nak pergi ke tempat ceramah atau balai gerakan,” katanya kepada MalaysiaNow.

“Saya tunggu orang datang nak tengok kereta saya sahaja. Dapat duit, boleh juga buat beli nasi.”

Lain pula cerita dengan jiran Shafiie, seorang ibu tunggal yang mahu dikenali sebagai Lin berkata, bdia tidak mahu menyambut mana-mana pasukan kempen kerana khuatir dengan penularan Covid-19 yang masih tinggi.

“Kalau datang setakat kat depan macam ni, saya boleh lagi. Tapi tak boleh datang masuk rumah macam dulu. Saya takut,” katanya dan menambah tidak memboikot kempen sebaliknya hanya mahu menjaga keselamatan diri.

Meskipun begitu, kedua-dua mereka memberitahu, situasi tersebut tidak akan mematahkan semangat untuk menjalankan tanggungjawab sebagai pengundi pada 12 Mac nanti.

Pada kempen-kempen PRN sebelum ini, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengalakkan parti-parti politik mengadakan kempen secara dalam talian berbanding ceramah secara kehadiran fizikal bagi mengelakkan kesesakan dan penularan jangkitan Covid-19.

Untuk rekod, tiga PRN sebelum ini, ceramah di premis parti dan kempen rumah ke rumah adalah tidak dibenarkan mengambil jangkitan Covid-19 mencecah puluhan ribu kes sehari.

Semalam, SPR mengumumkan tambahan prosedur operasi standard (SOP) bagi PRN Johor yang membenarkan ceramah diadakan di premis rasmi parti dengan kehadiran tidak melebihi 100 orang atau 50% kapasiti ruang mengambil kira pandangan oleh kementerian kesihatan (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).