- Iklan -
Berita

Malaysia kesal Majlis Keselamatan PBB tidak upaya pulih keamanan di Ukraine

Wakil Malaysia ke PBB Syed Mohamad Hasrin berkata terdapat keperluan untuk sesi khas kecemasan Perhimpunan Agung PBB.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu kini bermesyuarat dalam sidang kecemasan berkaitan konflik Ukraine-Rusia. Gambar: AFP
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu kini bermesyuarat dalam sidang kecemasan berkaitan konflik Ukraine-Rusia. Gambar: AFP

Malaysia yang amat bimbang dengan peningkatan konflik ketenteraan di Ukraine, kesal dengan ketidakupayaan Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) dalam melaksanakan tanggungjawab utamanya untuk memulihara keamanan dan keselamatan antarabangsa.

Wakil Tetap Malaysia ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Syed Mohamad Hasrin Aidid berkata oleh itu terdapat keperluan untuk sesi khas kecemasan ke-11 Perhimpunan Agung PBB.

Beliau berkata Malaysia memahami kebimbangan keselamatan yang munasabah oleh semua pihak.

“Namun begitu, dalam apa jua keadaan semua pihak mesti mematuhi dan menghormati prinsip kedaulatan dan integriti wilayah semua negara, seperti yang termaktub dalam piagam PBB dan undang-undang antarabangsa. Sebarang pelanggaran prinsip yang agung itu tidak boleh diterima,” katanya dalam kenyataan pada sesi khas kecemasan ke-11 Perhimpunan Agung PBB.

Kenyataan itu disiarkan melalui akaun Twitter rasmi Misi Tetap Malaysia ke PBB di New York.

Hasrin berkata pada saat genting ini, Kuala Lumpur menyeru semua pihak untuk bertenang, mengambil langkah konkrit untuk meredakan kemelut dan meneruskan jalan dialog untuk menyelesaikan konflik secara aman.

“Oleh itu, Malaysia menyambut baik rundingan secara bersemuka antara Ukraine dan Rusia di Belarus pada 28 Februari 2022.

“Kami berharap rundingan itu akan diteruskan dan menemui penyelesaian segera untuk mengelakkan kehilangan nyawa dan kemusnahan berterusan,” tambahnya.

Beliau berkata Malaysia menyeru semua pihak agar tidak mengambil tindakan sehala yang boleh memburukkan lagi ketegangan dan memberi kesan yang meluas ke serantau dan global.

Hasrin juga berkata Malaysia amat bimbang dengan laporan mengenai senjata nuklear yang diletakkan pada status berjaga-jaga tinggi, sambil menyeru semua negara senjata nuklear supaya mematuhi Kenyataan Bersama mereka pada 3 Jan 2022 mengenai mencegah perang nuklear dan mengelak perlumbaan senjata.

“Malaysia menyokong penuh penegasan bahawa “perang nuklear tidak boleh dimenangi dan tidak boleh dimulakan”.

“Kami selanjutnya menggesa negara senjata nuklear untuk meneruskan tindakan ke arah pengurangan keadaan berwaspada, pengurangan risiko, dan melaksanakan komitmen dan kewajipan mereka berkaitan pelucutan dan kawalan senjata nuklear,” katanya.

Dengan keadaan tegang di lapangan, beliau berkata Malaysia menggesa semua pihak untuk memastikan perlindungan dan kesejahteraan rakyat, khususnya wanita, kanak-kanak, dan kumpulan lain masyarakat yang mudah terancam.

Hasrin berkata Malaysia mengulangi komitmennya untuk menyelesaikan pertikaian secara aman, berpandukan prinsip yang termaktub dalam piagam PBB dan undang-undang antarabangsa demi kepentingan mengekalkan keamanan dan keselamatan serantau dan antarabangsa, serta memperkenalkan kemakmuran yang lebih besar.

“Sehubungan itu, Malaysia akan mengundi menyokong draf resolusi bersama perhimpunan ini,” tambahnya.