- Iklan -
Berita

Mahkamah Jenayah Antarabangsa mulakan siasatan ke atas Rusia

Kerja-kerja pengumpulan bukti berkenaan aktiviti ketenteraan Rusia di Ukraine sedang dijalankan.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Suasana kemusnahan di sebuah dataran dewan bandaran di Kharkiv, Ukraine pada 1 Mac selepas serangan Rusia. Gambar: AFP
Suasana kemusnahan di sebuah dataran dewan bandaran di Kharkiv, Ukraine pada 1 Mac selepas serangan Rusia. Gambar: AFP

Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) memulakan siasatan ke atas aktiviti Rusia di Ukraine, kata pendakwa raya ICC Karim Khan.

“Saya baru sahaja memberitahu pejabat ICC mengenai keputusan saya untuk meneruskan dengan segera siasatan aktif dalam situasi itu. Kerja-kerja pengumpulan bukti sudah dimulakan,” kata Khan dalam satu kenyataan, lapor Sputnik.

Beliau menambah bahawa ICC akan memberi tumpuan kepada objektif utama organisasi: memastikan akauntabiliti bagi jenayah di bawah bidang kuasa mahkamah.

Minggu lalu, Rusia melancarkan operasi khas selepas republik pemisah Donetsk dan Luhansk meminta bantuan untuk mempertahankan diri daripada serangan berterusan oleh tentera Ukraine.

Negara-negara Barat mengutuk sekeras-kerasnya operasi ketenteraan Rusia dan meningkatkan tekanan sekatan terhadap Rusia.