- Iklan -
Berita

Lindungi lombong bitcoin, pegawai penguat kuasa Perak direman

Suspek direman selama lima hari bagi membantu siasatan mengenai sindiket perlombongan bitcon, dan disiasat mengikut Seksyen 16 dan 17 Akta Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Pegawai berusia 34 tahun itu 34 tahun itu disyaki memiliki sebuah pusat perlombongan bitcoin yang mencuri bekalan elektrik, dan penahanannya dibuat susulan soal siasat ke atas seorang taikun yang mengawal 500 premis perlombongan bitcoin di seluruh negara. Gambar: AFP
Pegawai berusia 34 tahun itu 34 tahun itu disyaki memiliki sebuah pusat perlombongan bitcoin yang mencuri bekalan elektrik, dan penahanannya dibuat susulan soal siasat ke atas seorang taikun yang mengawal 500 premis perlombongan bitcoin di seluruh negara. Gambar: AFP

Seorang pegawai penguat kuasa di Perak ditahan awal pagi tadi kerana disyaki melindungi pusat-pusat perlombongan bitcoin dengan bayaran RM12,000 sebulan di negeri itu.

Menurut sumber, suspek yang berusia 34 tahun itu juga disyaki memiliki sebuah pusat perlombongan bitcoin yang mencuri bekalan elektrik, dan penahanannya dibuat susulan soal siasat ke atas seorang taikun yang mengawal 500 premis perlombongan bitcoin di seluruh negara.

Beliau berkata suspek kini direman selama lima hari bagi membantu siasatan mengenai kegiatan sindiket perlombongan bitcon, dan disiasat mengikut Seksyen 16 dan 17 Akta Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.

“Perintah reman dikeluarkan Mahkamah Majistret Jenayah 1, Ipoh. Selain itu, hasil soal siasat juga mendedahkan bahawa wujud kegiatan pemilikan pusat-pusat perlombongan bitcoin dalam kalangan pegawai tinggi agensi penguatkuasa, namun pusat-pusat ini dijalankan oleh ahli sindiket bagi pihak pegawai terbabit,” kata sumber itu kepada Bernama.

“Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak menolak bahawa akan ada lagi tangkapan berhubung perkara ini dan siasatan akan dijalankan mengikut Seksyen 16 dan 17 Akta Pencegahan Rasuah Malaysia 2009,” tambahnya.

Selasa lepas Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki mendedahkan sindiket melombong bitcoin yang mencuri bekalan elektrik dari 2018 hingga 2021 mengakibatkan kerajaan menanggung kerugian mencecah RM2.3 bilion.

Susulan itu SPRM menahan 18 lelaki warga tempatan termasuk dalang berusia antara 30-an hingga 60-an di seluruh negara.

Sementara itu di Mahkamah Majistret di sini seorang pengarah syarikat pendawaian direman empat hari bermula hari ini bagi membantu siasatan berhubung dakwaan rasuah kepada pegawai Tenaga Nasional Berhad (TNB) membabitkan sindiket melombong bitcoin yang mencuri bekalan elektrik.

Perintah reman itu dikeluarkan Majistret Nur Farahain Roslan selepas membenarkan permohonan reman oleh SPRM.

Menurut sumber SPRM, lelaki berusia 33 tahun itu ditahan di Pejabat SPRM Kuala Lumpur semalam, bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 16 (b)(A) Akta SPRM 2009.