- Iklan -
Berita

KWSP umum dividen lebih tinggi bagi 2021

Kadar dividen kepada pencarum bagi 2021 lebih tinggi berbanding dua tahun sebelumnya.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Orang ramai di pejabat KWSP bagi urusan mengeluarkan caruman mereka di premis KWSP Bandar Baru Nilai, Negeri Sembilan.
Orang ramai di pejabat KWSP bagi urusan mengeluarkan caruman mereka di premis KWSP Bandar Baru Nilai, Negeri Sembilan.

Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) hari ini mengumumkan kadar dividen 6.10% bagi caruman konvensional dan 5.65% bagi caruman syariah untuk 2021, mengatasi kadar dividen 5.2% dan 4.9% pada 2020.

Kadar dividen yang dicatatkan bagi tahun lalu itu juga mengatasi dividen sebanyak 5.45% bagi caruman konvensional dan 5.0% bagi caruman syariah untuk 2019 yang diumumkan sebelum pandemik Covid-19 melanda negara.

Ini menjadikan jumlah keseluruhan pembayaran bagi 2021 adalah sebanyak RM56.72 bilion.

Ketua pegawai eksekutifnya, Amir Hamzah Azizan berkata dividen tinggi pada 2021 itu adalah sebahagian daripada portfolio kukuh dan yang dipelbagaikan oleh dana pencen tersebut di peringkat global.

“Pengeluaran berkaitan pandemik sebanyak RM101 billon sejak tahun 2020 telah menyebabkan 48% ahli KWSP mempunyai amaun kurang daripada RM10,000 dalam akaun mereka.

“Kami berharap dividen ini dan prestasi kukuh berterusan kami akan membantu kami memulakan proses membina semula simpanan persaraan ahli-ahli kami, seiring dengan pemulihan ekonomi,” katanya pada taklimat media mengenai prestasi kewangan 2021 KWSP hari ini.

Menurutnya, kebimbangan utama terhadap pengeluaran itu adalah impaknya kepada kecukupan persaraan ahli.

Bagaimanapun, katanya, meskipun cabaran menguruskan kecairan dalam menghadapi aliran keluar simpanan ini, KWSP mempunyai keupayaan untuk bertindak balas pantas dengan impak yang minimum kepada pasaran kewangan.

Bagi 2021, Amir berkata KWSP telah mengimbangi semula dan menguruskan portfolio pelaburannya dengan membeli saham yang kukuh asasnya pada harga menarik serta memanfaatkan pelaburannya di luar negara yang menyumbang 56% kepada keseluruhan pulangannya.

Setakat 31 Disember 2021, beliau berkata KWSP merekodkan peningkatan 6% dalam pendapatan pelaburan kasar kepada RM67.06 bilion daripada RM63.45 bilion pada 2020, dipacu daripada pemulihan pasaran ekuiti dan kebanyakan kelas aset di tengah-tengah lantunan semula ekonomi global.

“Bagi 2021,KWSP merekodkan caruman bersih yang negatif buat pertama kalinya (caruman selepas pengeluaran) dalam tempoh 20 tahun sebanyak RM58.2 bilion, tetapi masih kekal berhemat dalam strategi pelaburan jangka panjangnya di samping menyesuaikan diri dengan cabaran untuk memastikan pulangan mampan bagi tempoh jangka panjang.

“KWSP merekodkan pendapatan pelaburan kasar sebanyak RM67.06 bilion, dengan RM6.91 bilion diperuntukkan kepada simpanan syariah,” katanya.