- Iklan -
Berita

Saman Najib terhadap kerajaan adalah salah guna proses mahkamah, kata AGC

AGC yang mewakili kerajaan berkata saman sivil Najib itu adalah satu serangan sampingan terhadap perbicaraannya di mahkamah jenayah.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Bekas perdana menteri Najib Razak. Gambar: Bernama
Bekas perdana menteri Najib Razak. Gambar: Bernama

Kerajaan Malaysia mendakwa saman RM1.9 juta yang dikemukakan Najib Razak terhadap kerajaan dan bekas peguam negara Tommy Thomas adalah satu tindakan yang menyalahgunakan proses mahkamah dan wajar dibatalkan.

Saman terbabit berkaitan dakwaan bekas perdana menteri itu bahawa Thomas melanggar kuasa dalam jawatan awam apabila mendakwanya di mahkamah dengan tuduhan membabitkan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Dalam afidavit jawapan difailkan kerajaan bagi membatalkan saman Najib yang diikrarkan oleh timbalan pendakwa raya Ahmad Akram Gharib, menyatakan bahawa tuntutan saman sivil Najib itu adalah satu serangan sampingan terhadap perbicaraannya di mahkamah jenayah.

“Saya sesungguhnya percaya tindakan plaintif (Najib) ini menyalahgunakan proses mahkamah bertujuan sebagai serangan sampingan terhadap pertuduhan jenayah terhadapnya, yang dibuat dalam bidang kuasa berbeza (mahkamah sivil),” kata Akram dalam afidavit itu yang difailkan Jabatan Peguam Negara (AGC) yang mewakili kerajaan.

Menurutnya, dakwaan Najib bahawa terdapat perkembangan baru dalam skandal penyelewengan dana 1MDB, perlu dibangkitkan dalam perbicaraan jenayah dan bukannya melalui saman.

Pada 22 Oktober tahun lepas Najib memfailkan saman terhadap Thomas dan kerajaan berhubung dakwaan menyalahgunakan kuasa untuk mendakwanya dalam kes 1MDB, International Petroleum Investment Company (IPIC), salah guna kuasa dan pengubahan wang haram, dan menuntut ganti rugi lebih RM1.9 juta.

Ahli Parlimen Pekan itu mendakwa pertuduhan-pertuduhan yang dikenakan terhadapnya, sebahagian daripada perbuatan yang telah dirancang lebih awal oleh Thomas dan ia juga selaras dengan rancangan kerajaan Pakatan Harapan ketika itu.

Beliau mendakwa, pada 2015, Thomas telah bertemu dengan Dr Mahathir Mohamad untuk membincangkan kesalahan-kesalahan dan salah urus yang kononnya dilakukan kepada dana 1MDB dan turut menasihati Dr Mahathir supaya mengambil tindakan sivil dan jenayah terhadap Najib berhubung penglibatannya dalam 1MDB.

Sementara itu, Thomas dalam afidavit jawapannya pada 3 Februari lepas, menegaskan beliau menetapkan pertuduhan berkaitan 1MDB terhadap Najib selepas yakin bahawa ada kes yang kukuh.

Beliau berkata Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sudah menyiasat dan menyediakan kertas siasatan mengikut undang-undang dan amalan sedia ada.

“Itulah sahaja pertimbangannya… Dakwaan bahawa saya membentuk pendapat mengenai Najib sudah bersalah sebelum saya memegang jawatan sebagai Peguam Negara lagi, adalah tidak benar.

Beliau berkata dalam apa jua keadaan, ia juga tidak relevan dengan kuasa budi bicaranya (untuk menjalankan atau memberhentikan apa-apa prosiding mengenai suatu kesalahan) di bawah Perkara 145 (3) Perlembagaan Persekutuan.

“Begitu juga dalam apa jua keadaan, pendapat peribadi saya tidak relevan dengan penggunaan budi bicara saya untuk menetapkan pertuduhan terhadap beliau, salah satunya di mana beliau sudah didapati bersalah oleh Mahkamah Tinggi, dan disahkan oleh Mahkamah Rayuan,” dakwa Thomas.

Mahkamah Tinggi menetapkan 15 April untuk pengurusan kes itu.