Sunday, July 3, 2022

Di pinggir Muar, peniaga pentingkan kelangsungan perniagaan berbanding politik

Di Johor, impak psikologi Covid-19 masih terasa, manakala kempen burukkan parti lawan mungkin makan diri untuk pembangkang.

Other News

Di pinggir Sungai Muar, air yang mengalir perlahan ke Selat Melaka dan angin sepoi bahasa membawa ketenangan kepada pengunjung ke Muar.

Bandar Muar yang diberi jolokan “Bandar Maharani” itu antara penempatan yang tertua di Johor.

Deretan kedai makan membolehkan pengunjung menikmati juadah sambil melihat pemandangan sungai.

Sesekali bot membawa penumpang membelah air.

Namun ketenangan Sungai Muar tidak dikongsi para peniaga kecil-kecilan di situ.

Merentas Jambatan Muar dari arah utara, bandar Muar dipenuhi bangunan-bangunan lama tinggalan zaman British.

Aktiviti ekonomi kelihatan rancak meskipun beberapa arked kedai masih mencari penyewa.

Seorang peniaga pau di Jalan Khalidi, Benny Fong berkata, perniagaannya dilanda ketidaktentuan meskipun aktiviti ekonomi sudah dibuka sepenuhnya.

“Dahulu, pukul 10 pagi sudah banyak pau yang terjual. Saya sudah boleh tutup kedai.

“Sekarang, pau banyak tak terjual terutama selepas Tahun Baru Cina,” katanya kepada MalaysiaNow.

Benny Fong mengira bilangan pau yang tinggal di kedainya di Muar, Johor.

Katanya, jualan hambar itu dipengaruhi oleh ketakutan orang ramai kepada situasi Covid-19, selain penutupan kilang dan sekolah di kawasan itu.

Dia yang mengusahakan perniagaan itu sejak lebih 10 tahun lalu bersama keluarganya buntu untuk mencari pelanggan.

Sukar untuknya mendapat pelanggan yang mampu membeli secara pukal seperti dahulu.

Sambil menunjukkan paunya yang masih belum terjual, Fong berkata nasibnya masih lagi baik jika dibandingkan dengan beberapa perniagaan di sekelilingnya yang sudah gulung tikar.

Kuasa beli yang semakin berkurangan itu turut dirasai oleh peniaga ikan kering yang dikenali sebagai Tan.

Warga emas itu berkata, perniagaannya turut terkesan dengan harga barang yang naik.

“Saya ambil bahan mentah dari Pulau Ketam di Selangor, ada juga dari Kedah dan Siam. Boleh kata tinggi juga harga ikan sekarang,” katanya dalam loghat Cina yang pekat.

Tan yang berniaga ikan kering sejak 50 tahun lalu berkata, pembeli kini berhati-hati dan cermat dalam berbelanja.

Kebiasaannya, seorang pembeli boleh membeli sekilo hingga dua kilo ikan bilis, namun sekarang jumlah itu dikurangkan.

“Pelancong Singapura juga ramai sebelum Covid-19, mereka beli untuk makan sendiri. Sekarang tiada pelancong Singapura, memang terjejas,” katanya yang mengusahakan perniagaan itu bersama anaknya.

Tan memproses ikan bilis yang akan dijual di kedainya di Muar.

Tan berkata, barangan basah yang dijual lebih murah berbanding barang kering, sekali gus menukar pilihan dan citarasa pelanggan yang memilih barangan yang lebih murah.

Kawasan tengah bandar itu terletak di bawah kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bentayan.

Penyandang kerusi, Ng Yak Howe daripada DAP.

Ng akan dicabar oleh calon MCA, Gan Qi Ru dan calon Perikatan Nasional (PH) Tan Kok Hong.

Ng menang selesa dengan majoriti lebih 13,000 undi pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu, namun sukar dipastikan sama ada kejayaan itu mampu diulang pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor kali ini.

Impak psikologi Covid-19 dan ketidaktentuan ekonomi menyebabkan semangat pilihan raya tidak berapa kelihatan dalam kalangan pengundi di DUN Bentayan yang terdiri daripada majoritinya pengundi Cina.

Peniaga kedai basikal, Zulkifli Abdul Hamid yang berniaga di Maharani Riverview berkata, kestabilan, bantuan, dan kelangsungan perniagaan menjadi keutamaan semua peniaga.

“Saya nampak keputusan PRN Johor tidak jauh beza dengan PRN Melaka. Orang tak fikir banyak, cuma mahukan kestabilan,” katanya. Zulkifli berkata, sikap acuh tidak acuh (indifferent) kepada semua blok politik dapat dikesan di kalangan orang biasa.

Perniagaannya juga belum berada di tahap sebelum pandemik namun bernasib baik apabila dapat menyewa arked milik Mara dengan harga yang lebih murah daripada harga pasaran.

Sentimen ini mungkin dibaca dengan tepat oleh Barisan Nasional (BN) yang mengkitar semula slogan pada PRN Melaka, dengan sedikit olahan.

“Kestabilan Demi Masa Depan” menjadi taruhan BN.

Ia sekali gus memberi sedikit isyarat kepada pihak yang ingin memenangi PRN kali ini.

Meskipun momentum PRN masih di peringkat awal, Amanda Yeo dari badan pemikir Emir Research memberi amaran kempen memburukkan parti lawan, atau menceritakan perkara-perkara negatif, seperti yang digunakan pada PRU14 lepas tidak akan mampu menarik pengundi.

“Kempen memburuk parti lawan tidak banyak impak kepada pengundi, bahkan sehingga hari ini, kem pembangkang masih belum menamakan calon menteri besar. Pembangkang juga berpecah-belah. Kita boleh melihat DAP, Amanah dan Muda dalam satu kem di bawah bendera Pakatan Harapan (PH) dan Muda.

“Kebanyakan pengundi mahu menilai kelayakan calon terdahulu sebelum mengundi. Sebagai contoh, MCA mungkin bukan parti yang diminati dalam kalangan komuniti Cina namun sesetengah daripada mereka berpendapat bahawa mereka akan undi calon MCA jika dia boleh berkhidmat,” katanya.

Yeo berkata, keutamaan kini tertumpu kepada persekitaran lebih baik untuk kelangsungan hidup, selain menjana pendapatan.

Fong kelihatan bersama sentimen tersebut.

Dia cuba mengelak daripada bercakap soal parti politik.

Tidak banyak yang diharapkan daripada siapa pun yang menjadi wakil rakyat,selain khidmat kepada rakyat.

“Siapa sahaja jadi kerajaan, sama sahaja keadaan kita.

“Mereka tidak boleh buat apa-apa pun. Cuma kami harap mereka akan bantu sedikit-sebanyak,” katanya.

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles