- Iklan -
Berita

Lonjakan harga minyak beri kesan minimum terhadap Malaysia

Walaupun hasil minyak menunjukkan peningkatan, namun kos subsidi juga turut meningkat disebabkan subsidi kerajaan bagi RON95 dan diesel.

Ahmad Mustakim Zulkifli
3 minit bacaan
Kongsi
Operasi pam minyak di Willow Springs Park di Long Beach, California pada 21 April 2020. Harga minyak meningkat lebih dari AS$20 setong sejak awal 2022 ekoran kebimbangan berhubung sekatan Amerika dan Eropah terhadap sektor tenaga Rusia, di mana ia dilihat boleh menjejaskan bekalan. Gambar: AFP
Operasi pam minyak di Willow Springs Park di Long Beach, California pada 21 April 2020. Harga minyak meningkat lebih dari AS$20 setong sejak awal 2022 ekoran kebimbangan berhubung sekatan Amerika dan Eropah terhadap sektor tenaga Rusia, di mana ia dilihat boleh menjejaskan bekalan. Gambar: AFP

Pakar ekonomi berpandangan peningkatan harga minyak mentah Brent sehingga AS$100 setong pada Khamis, tertinggi sejak lapan tahun ekoran serangan Rusia ke atas Ukraine tidak memberi kesan besar terhadap Malaysia.

Kebimbangan mengenai kesan kenaikan harga minyak itu mula disuarakan selepas ia dilihat sebagai bayangan terhadap situasi ekonomi global dan peningkatan inflasi.

Selain itu, ia juga dilihat mungkin mengganggu rantaian bekalan ketika konflik di Eropah semakin memuncak susulan “operasi ketenteraan khas” Presiden Rusia Vladimir Putin terhadap Ukraine.

Bagaimanapun, pakar ekonomi Geoffrey Williams berkata tidak mungkin harga minyak akan kekal pada paras harga sekarang.

“Mungkin ada hasil tambahan sekitar RM1 bilion sebulan secara purata sejak April 2020, namun ia digunakan sebagai subsidi dan dihabiskan bagi membiayai kos Covid-19, jadi kita tidak melihat terlalu banyak manfaat daripadanya.

“Malaysia bernasib baik kerana mempunyai penampan,” kata professor dari Univeriti Sains dan Teknologi Malaysia (MUST) itu kepada MalaysiaNow.

“Tanpa royalti minyak untuk kerajaan, kesannya amat teruk.”

Williams merujuk kenaikan harga minyak dari AS$20 setong dua tahun lalu ke paras sekarang.

Beliau turut memetik anggaran Pejabat Penyelidikan Makroekonomi Asean+3, mengatakan setiap kenaikan sebanyak AS$1 pada harga minyak akan menambah RM646 juta kepada keluaran dalam negara kasar (KDNK) Malaysia dan RM339 juta kepada hasil kerajaan.

Secara keseluruhan, lonjakan harga sebanyak AS$75 dari April 2020 hingga sekarang mungkin menambah RM48.5 bilion kepada KDNK dan RM25.4 bilion kepada hasil kerajaan dalam tempoh 22 bulan.

Kerajaan juga ketika ini memberikan subsidi bagi petrol RON95 dan diesel.

Setakat minggu ini, harga runcit RON95 dan diesel masing-masing berada pada RM2.05 dan RM2.15 seliter.

Harga pasaran bagi komoditi itu dicerminkan pada harga RON97 yang tidak bersubsidi, di mana harganya kini berada pada RM3.29 seliter.

Menurut UOB Research, kos subsidi bahan api boleh meningkat kepada RM18.6 bilion jika harga minyak mentah Brent secara purata berada pada paras harga AS$90 tahun ini.

Ketua ekonomi Bank Islam Mohd Afzanizam berkata gambaran besar yang berlaku ketika ini ialah ketegangan yang memuncah di Eropah Timur, di mana ia boleh mengakibatkan ketidaktentuan dalam pasaran kewangan.

“Bursa semestinya negatif kerana pasaran saham tidak menggemari ketidakpastian,” katanya.

“Isu utama sekarang adalah potensi untuk perang berlaku, dan jika ya, siapakah kuasa-kuasa besar yang terlibat dan berapa lama tempoh konfrontasi itu berlaku.”

Sementara itu, Williams berkata walaupun harga minyak yang lebih tinggi boleh menyebabkan inflasi, kesan ini sebahagian besarnya berlalu kerana lonjakan besar dalam harga minyak sudah di belakang.

“Harga minyak yang lebih tinggi akan memberikan kesan inflasi utama namun memandangkan kita berada pada tahap kemuncak, kesan ini tidak akan mengulangi inflasi tinggi yang kita lihat pada 2021. Inflasi tanpa minyak dan inflasi teras akan rendah dan stabil pada 2022.

“Bahkan, pada Januari 2022, inflasi utama turun kepada 2.3% daripada 3.2% pada Disember 2021,” katanya.

Adilah Zafirah dari IRIS Institute memberi amaran mengenai harga input yang lebih tinggi merentasi beberapa sektor ekonomi yang boleh menyebabkan kenaikan harga barang.

“Kenaikan harga bijirin akan meningkatkan kos bagi makanan ayam, dan seterusnya akan meningkatkan kos ternakan. Ini sudah tentu akan menambah beban rakyat,” kata Adilah.

Rusia ialah pengeksport bijirin terbesar di dunia manakala eksport jagung dari Ukraine merangkumi 16% daripada pasaran global.

Dalam pada itu, negara-negara di rantau Asia Pasifik pula sedang bersiap sedia untuk menghadapi kenaikan harga komoditi dan kekurangan bekalan minyak, gas dan besi.

Adilah berkata kenaikan harga minyak juga seterusnya akan meningkatkan nilai ringgit dan menjejaskan eksport.

Namun, Williams berkata kesan ketidaktentuan kadar tukaran mata wang terhadap perdagangan adalah tidak banyak, malahan beliau menambah perdagangan sebenarnya semakin meningkat dan menjadi pemacu utama pertumbuhan ekonomi.

Berhubung kesan terhadap Malaysia ekoran sekatan yang dikenakan ke atas Rusia, beliau berkata dua faktor perlu diambil kira.

“Pertama, jika konflik meningkat dan merosakkan perdagangan global dan pemulihan ekonomi – maka ini akan menghalang pertumbuhan di Malaysia,” katanya.

“Kedua, jika sekatan itu terus dilanjutkan dan menjejaskan institusi kewangan Malaysia.”

Sekiranya senario kedua terjadi, beliau berkata, tindak balas terhadap perkara itu perlu dilakukan.

“Namun, pendedahan secara langsung agak terhad dalam realiti,” tambahnya.

Malaysia ialah pengeksport petroleum dan pengeluar minyak utama di rantau Asia Pasifik, ia mengeksport lebih dari RM53 bilion petroleum pada 2020

Pada 2019, Malaysia berkata rizab gasnya dijangka habis menjelang 2029.