- Iklan -
Berita

Leissner dapatkan saya kerja, kata anak Najib

Noryana berkata firma pelaburan TPG mempunya proses ketat, dan dia tidak dibenarkan untuk menyertai atau mengendalikan akaun pelabur dari Malaysia.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Nooryana Najwa dan bapanya, bekas perdana menteri Najib Razak. Gambar: Instagram
Nooryana Najwa dan bapanya, bekas perdana menteri Najib Razak. Gambar: Instagram

Nooryana Najwa Najib, anak perempuan kepada bekas perdana menteri, Najib Razak mengakui mendapat kerja di sebuah firma pelaburan melalui Tim Leissner, salah seorang dari dua eksekutif Goldman Sachs yang terlibat dalam kes rasuah berkait 1MDB.

Memberikan respons terhadap keterangan saksi oleh Leissner dalam perbicaraan di New York, Nooryana yang merupakan graduan politik antarabangsa berkata, Leissner memperkenalkannya kepada kumpulan dana pelaburan TPG, sambil menambah latar pendidikannya “sesuai” dalam urusan mengumpul dana pelaburan.

“Saya jalani temu duga bagi jawatan penganalisis pelatih di pejabat TPG London. Ya, saya seorang pelatih,” tulisnya dalam satu hantaran Facebook.

“Ini bermakna anda berada di tahap paling bawah firma itu. Skop kerja yang dipertanggungjawabkan kepada anda adalah kerja-kerja renyah pejabat. Antara kerjanya, saya perlu hadap PowerPoint, mesin fotostat, bawa kopi dan hantar barang.”

Nooryana juga berkata TPG mempunyai proses ketat dalam budaya kerjanya, disebabkan kedudukan bapanya dalam kerajaan, dia tidak dibenarkan untuk menyertai atau bekerja dalam urusan akaun pelabur dari Malaysia.

Leissner yang merupakan bekas pengerusi Goldman di Asia Tenggara kini menjadi saksi utama di mahkamah terhadap Roger Ng yang didakwa menerima jutaan dolar dalam bentuk rasuah bagi membantu menyelewengkan wang dari 1MDB.

Ng mengaku tidak bersalah terhadap beberapa pertuduhan bersubahat dalam pengubahan wang haram dan melanggar undang-undang anti rasuah.

Pada 22 Februari, Leissner memberitahu mahkamah Goldman perlu mendapatkan kerja untuk anak Najib di bank itu sebagai balasan bagi tawaran perniagaan yang menguntungkan.

Leissner juga memberitahu juri bahawa Ng menghantar e-mel kepadanya mengatakan mereka akan “usahakan supaya mereka (anak Najib) untuk menyertai Goldman”.

Bagaimanapun beliau akhirnya hanya dapat membantu anak Najib itu untuk bekerja di TPG.

Dalam pada itu, Nooryana berkata pertemuan bersama Leissner dan Ng “tidak lain, hanyalah peluang untuk lebih banyak belajar mengenai program penganalisis Goldman Sachs yang mencabar “.

“Mana-mana senior kolej akan beritahu anda yang anda perlu buat kerja-kerja asas dan jalinkan rangkaian dengan profesional dalam industri bagi mendapatkan kerja yang kompetitif dan selari dengan minat anda,” tambahnya.

“Benar, saya ada bertanya sama ada Goldman Sachs mempunyai jawatan yang memerlukan pelbagai kemahiran. Saya disiapkan untuk jalani temu duga dengan mereka. Dan benar, saya diberitahu Goldman Sachs mempunyai perniagaan dengan kerajaan Malaysia, dan ia boleh jadi konflik kepentingan (untuk saya).”

Selepas mendapat kerja sebagai pelatih di TPG, Nooryana berkata dia bekerja di sana sekitar 11 bulan sebelum dinaikkan pangkat sebagai penganalisis sepenuh masa melalui penilaian prestasi dalaman firma tersebut.

Dia kemudiannya dipindahkan ke TPG Hong Kong di mana dia bekerja di sana selama dua tahun setengah bagi mengusahakan pengumpulan dana pelaburan TPG Asia.

“Akhirnya, saya tinggalkan TPG pada Jun 2015 bagi menumpukan perhatian pada perniagaan sendiri dan memohon untuk menyambung pendidikan saya.”

Dalam sebuah hantaran Facebook semalam, Najib berkata tiada seorang pun daripada anaknya ditawarkan kerja di Goldman Sachs.

Namun beliau mengakui Leissner memperkenalkan kepada anaknya peluang kerja di TPG namun firma tersebut tiada kaitan dengan bank AS tersebut.

“Anak saya yang pernah bekerja di TPG Capital bukanlah satu rahsia.

“Anak saya memang pernah bekerja selama setahun sahaja dengan jawatan junior di situ,” katanya.