- Iklan -
Berita

Hanya 1 kes penerima vaksin kanak-kanak alami kesan sampingan serius

Tindak balas stres akut, demam, reaksi pada kulit dan sesak nafas adalah antara kesan sampingan yang kerap dilaporkan dalam kalangan penerima vaksin kanak-kanak.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Seorang kanak-kanak ditemani ibunya ketika menerima vaksin Covid-19 di bawah Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan bagi Kanak-Kanak (PICKids). Gambar: Bernama
Seorang kanak-kanak ditemani ibunya ketika menerima vaksin Covid-19 di bawah Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan bagi Kanak-Kanak (PICKids). Gambar: Bernama

Sebanyak 38 laporan kesan sampingan (AEFI) suntikan vaksinasi kanak-kanak di bawah Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan bagi kanak-kanak (PICKids) setakat 18 Februari, di mana hanya satu kes serius diterima melibatkan kemasukan ke hospital dan telah pulih sementara 37 kes lagi dikategorikan sebagai tidak serius.

Pengarah Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) Dr Roshayati Mohamad Sani berkata jumlah itu bersamaan 0.1 laporan bagi setiap 1,000 dos suntikan vaksin.

Dalam sebuah kenyataan hari ini, beliau berkata NPRA telah menerima tambahan 20 laporan AEFI melibatkan PICKids yang menerima suntikan pada 21 Februari.

“Kesemuanya adalah tidak serius yang menjadikan keseluruhan laporan adalah 58 tetapi kadar pelaporan berbanding jumlah dos yang diberikan masih kekal sama,” katanya.

Menurut Roshayati, tindak balas stres akut, demam, reaksi pada kulit dan sesak nafas adalah antara kesan sampingan yang kerap dilaporkan dalam kalangan penerima vaksin kanak-kanak.

Setakat 18 Februari, 383,165 suntikan dos vaksin telah diberikan di bawah PICKids kepada kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun.

Angka itu termasuk jumlah keseluruhan 65,777,392 dos vaksin di bawaj program vaksinasi kebangsaan.

Roshayati berkata NPRA menerima 25,211 AEFI yang memerlukan penilaian dan pemeriksaan termasuk 1,186 laporan berkait penerima dos penggalak.

Laporan melalui sistem AEFI NPRA tersebut secara keseluruhannya direkodkan pada kadar 383 laporan bagi setiap sejuta dos yang diberikan.

“Setelah dinilai dan disiasat, didapati sejumlah 23,453 atau 93% daripada AEFI yang dilaporkan adalah bagi kes-kes yang tidak serius.

Menurut Roshayati, demam, sakit pada tempat suntikan, sakit kepala, sakit otot dan keletihan merupakan antara kesan sampingan yang paling kerap dilaporkan oleh penerima vaksin sambil menambah ia biasanya akan pulih dalam tempoh satu hingga dua hari.

Berhubung dos penggalak, 1,186 AEFI diterima NPRA bersamaan kadar 86 bagi setiap sejuta dos yang diberikan.

Daripada jumlah itu 87 atau 7.34% – 6.3 laporan bagi setiap sejuta dos – dikategorikan sebagai serius.

Roshayati turut berkata NPRA telah menerima dua lagi laporan kematian dalam kalangan penerima dos penggalak setakat 18 Februari, menjadikan jumlaha kematian dalam kalangan penerima dos ketiga vaksin itu sebanyak 44 orang.

“Sejumlah 22 laporan telah selesai penyiasatan dan dinilai oleh Jawatankuasa Khas Farmakovigilans Vaksin Covid-19 (JFK) dan didapati kematian tersebut tiada hubung kait dengan vaksin yang diterima,” katanya sambil menambah masih ada 22 lagi laporan sedang diproses untuk dilengkapkan sebelum dibentangkan bagi penilaian JFK.